
KURSUS PENTAULIAHAN PENGADIL LANGKAH AWAL ANGKAT DARJAT KONDA KONDI
BANDARAYA MELAKA 13 Ogos – Kursus Pentauliahan Pengadil Konda Kondi Peringkat Negeri Melaka yang dianjurkan Tourism Melaka menjadi langkah awal bagi memperluaskan permainan konda kondi ke peringkat lebih tinggi.
Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, kursus berkenaan mampu memberi manfaat dalam usaha memartabatkan konda kondi sebagai permainan yang diiktiraf di peringkat negeri, nasional dan antarabangsa.
“Kursus berkenaan akan dianjurkan secara berperingkat supaya pengadil-pengadil yang menyertainya dapat mengenali permainan konda kondi dengan lebih mendalam.
“Ia merangkumi skop yang lebih luas bermula daripada jenis undang-undang, struktur padang, reka bentuk tapak dan juga kaedah permainan.
“Ketiga-tiga elemen seni ini akan disusun menjadi satu peraturan yang akan diterima pakai sebagai satu piawaian yang mengikut standard di peringkat negeri dan antarabangsa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Kursus Pentauliahan Pengadil Konda Kondi Peringkat Negeri Melaka, di sebuah hotel, di sini, semalam, yang turut dihadiri Pengurus Besar Tourism Melaka Nasrul Ahmad.
Kursus tersebut disertai seramai 125 peserta yang terdiri daripada wakil-wakil jabatan dan agensi Negeri Melaka dan Persekutuan, wakil-wakil Ahli Jawatankuasa Pembangunan Dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri Melaka (Japerun), badan bukan kerajaan (NGO) dan juga pihak swasta.
Mengulas lanjut Zaidi memaklumkan, pengadil yang terlibat akan diberi peluang merasai sendiri pengalaman bermain sebelum kembali ke peringkat seterusnya bagi membincangkan penambahbaikan yang diperlukan dalam permainan sukan rakyat itu.
“Konda kondi ini memerlukan penghayatan yang mendalam oleh pengadil sendiri agar mereka dapat faham dengan lebih teliti sebelum undang-undang permainan digubal,” ujarnya.
Tambah beliau, kursus tersebut juga turut menyumbang kepada usaha Melaka mempromosikan permainan tradisional itu sebagai salah satu tarikan pelancong yang berteraskan sukan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.