
PESERTA PELBAGAI KAUM MERIAHKAN BENGKEL DONDANG SAYANG
REMBIA 15 Ogos – Bengkel Dondang Sayang sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia menarik penyertaan hampir 150 peserta merangkumi pelajar sekolah, wakil agensi kerajaan dan penduduk pelbagai kaum.
Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata inisiatif itu penting bagi memastikan seni warisan Melayu terus diamalkan dan disambung oleh generasi akan datang.
Katanya, objektif penganjuran bengkel itu adalah untuk memberikan pendedahan mengenai seni dan teknik nyanyian, nada lagu, mencipta pantun serta mendalami sejarah dondang sayang itu sendiri.
“Lebih menarik, peserta bengkel turut melibatkan wakil pelbagai kaum, mereka ini turut menunjukkan kebolehan berpantun serta mengikuti tempo dondang sayang dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Perasmian Penutup Bengkel Dondang Sayang anjuran Institut Warisan Negeri Melaka (INSWA) di Dewan Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah (PDTAG), di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan dan Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata penganjuran bengkel seumpama itu wajar diteruskan pada edisi WRUR di DUN seterusnya, sekali gus memastikan seni warisan Melayu tidak hilang ditelan zaman.
“Saya dapati peserta melibatkan pelbagai peringkat usia ini sememangnya berkebolehan apabila mengalunkan irama dondang sayang mengikut cara yang betul, sehubungan itu bengkel ini wajar diteruskan pada WRUR edisi akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.