Sorting by

×

WUJUDKAN SUASANA PELANCONGAN PINTAR DI MELAKA 

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 15 Ogos – Kluster Pelancongan Warisan Seni dan Budaya, Dewan Belia Negeri Melaka, mencadangkan dua inisiatif baharu iaitu penambahbaikan Melaka Super Apps dan pengenalan Sijil Warisan Negeri Melaka (AI Heritage) bagi mengukuhkan ekosistem pelancongan.

Ahli Dewan Belia N.09 Durian Tunggal, Muhammad Zulaqmar Zainudin berkata, langkah itu bertujuan memperkenalkan konsep pelancongan pintar yang bukan sahaja memberi pengalaman visual dan hiburan, tetapi turut menyampaikan pendidikan berasaskan fakta sahih kepada pelancong.

“Melaka sudah terkenal sebagai negeri pelancongan, jadi kita mahu mewujudkan suasana baharu yang mana pelancong bukan sekadar bergambar, sebaliknya memperoleh ilmu yang sahih, bukan mitos atau andaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas Persidangan Pertama, Penggal Pertama, Dewan Belia Negeri Melaka di Anjung Makmur, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), pada Rabu.

Menurutnya, Melaka Super Apps dicadang untuk dilengkapi fungsi kad pintar mirip Touch ‘n Go (TNG) bagi merekod data pelancong, memudahkan transaksi dan menawarkan ganjaran mata kepada pengguna setiap kali digunakan di lokasi terpilih di seluruh negeri.

“Selain itu, AI Heritage akan menyediakan sijil pengesahan warisan asli negeri melalui imbasan kod respons pantas (QR), disertakan video berdurasi satu hingga tiga minit memaparkan sejarah, asal-usul dan proses pemuliharaan warisan tersebut.

“Gabungan teknologi dan warisan ini selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri mewujudkan Kampung Digital, selain menjadikan Melaka destinasi yang memberi pendidikan serta pengalaman unik yang tidak ditawarkan di negeri lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

538
Kongsi :
Previous post PESERTA PELBAGAI KAUM MERIAHKAN BENGKEL DONDANG SAYANG 
Next post LELAKI DITEMUKAN LEMAS DI KAWASAN AIR TERJUN DI BALING