
LELAKI DITEMUKAN LEMAS DI KAWASAN AIR TERJUN DI BALING
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata pihaknya menerima panggilan memaklumkan mengenai kejadian itu pada 2.34 pagi tadi, bagi meminta bantuan membawa turun mayat mangsa.
“Maklumat awal yang diterima mengatakan ada mangsa lemas di kawasan air terjun…mayat mangsa ditemui dalam keadaan duduk tersandar pada dahan pokok besar di air terjun.
“Pasukan bomba mendaki dan menyelusuri denai sejauh tiga kilometer (km) untuk sampai ke puncak,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata bomba menggunakan ‘sked stretcher’ dan sistem tali untuk membawa mangsa turun dari kawasan berketinggian kira-kira sembilan meter itu.
“Kerja mengeluarkan mangsa amat berisiko disebabkan kawasan curam, permukaan batu yang licin, struktur muka bumi yang tidak sekata dan cuaca hujan renyai serta keadaan yang gelap.
“Pasukan bomba mengambil masa hampir dua jam untuk membawa mangsa ke bawah dengan dibantu polis, petugas Kementerian Kesihatan (KKM) serta orang awam,” katanya.
Beliau berkata mangsa dikatakan masuk ke hutan untuk melakukan kerja-kerja hutan seperti mencari petai dan sayur-sayuran kampung.
“Kehilangan mangsa disedari adiknya selepas gagal dikesan dan dihubungi…dia kemudiannya meminta pertolongan penduduk kampung. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk urusan selanjutnya,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.