Sorting by

×

JALUR GEMILANG JADI KEBANGGAAN, SIMBOL NEGARA BERDAULAT – KM

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

SERI NEGERI 15 Ogos – Rakyat Melaka diingatkan supaya mengikut garis panduan yang betul ketika memasang Jalur Gemilang agar ia dikibarkan dengan penuh megah, selain sebagai tanda hormat dan ketaatan kepada negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan negara yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, berikutan itu pemasangan Jalur Gemilang tanpa mengikut aturan yang betul termasuk dipasang terbalik adalah tidak wajar dan perlu dielakkan daripada berlaku.

“Sekiranya bendera dipasang terbalik, ia boleh ditafsirkan sebagai tanda tidak taat kepada negara. Justeru, saya mengingatkan semua pihak supaya lebih prihatin agar imej dan lambang negara berdaulat ini sentiasa terpelihara.

“Bendera negara adalah lambang ketaatan kita kepada tanah air. Saya harap semua rakyat Melaka peka dan berhati-hati ketika memasangnya agar tidak berlaku kesilapan.

“Saya harap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu yang memasang Jalur Gemilang tanpa mengikut aturan yang betul, tidak kira sama ada disengajakan atau tidak,”katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Jabatan Ketua Menteri Melaka di Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad, barisan Exco, Timbalan Exco serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf turut menzahirkan rasa bangga terhadap rakyat Melaka yang sentiasa menjaga maruah negeri dan menghayati nilai patriotisme.

“Melaka sebuah negeri yang kaya dengan budaya dan kerukunan hidup. Saya bangga dengan rakyat Melaka yang bijak laksana Tuah, berani laksana Jebat,” katanya.

Ab Rauf turut memaklumkan tiada insiden Jalur Gemilang terbalik dilaporkan setakat ini di Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

566
Kongsi :
Previous post UTEM PERKASA BIDANG TVET AEROANGKASA, LAHIR LEBIH RAMAI SISWAZAH KOMPETEN
Next post LELAKI, TEMAN WANITA PARAH MELECUR DALAM KEBAKARAN DI PLAZA TOL