
‘COLOURS OF KELANTAN’ DIJANGKA GAMIT 5,000 PEMINAT SENI
BANDA HILIR 17 Ogos – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menyasarkan kira-kira 5,000 pengunjung akan hadir menyaksikan Pameran Lukisan ‘Colours of Kelantan Siri 3’ bertempat di Balai Seni Lukis Melaka.
Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, pameran yang menghimpunkan lebih 80 hasil karya Mahmood Mat iaitu pelukis prolifik dari Kelantan itu bermula Jumaat sehingga 31 Disember 2025.
“Pameran ini kita jangkakan bakal dikunjungi kira-kira 5,000 peminat seni untuk melihat hasil lukisan antaranya menggambarkan keindahan budaya dan landskap negeri Kelantan.
“Namun pameran biduka bermula Selasa hingga Ahad dan turut mempamerkan hasil karya mencerminkan keindahan Melaka.
“Malah turut bersama-sama beberapa pelukis jemputan lain yang turut sama menyumbang hasil karya mereka bagi merealisasikan pameran ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pameran Lukisan ‘Colours of Kelantan Siri 3’ yang turut dihadiri Pengurus Besar PERZIM Erne Hamsah, di Balai Seni Lukis Melaka, pada Jumaat.
Zaidi yang juga Timbalan Pengerusi PERZIM berkata, pameran siri ketiga ini merupakan kolaborasi yang diteruskan rentetan daripada penganjuran siri pertama.
“Difahamkan ini adalah pameran kali kedua yang diadakan, terima kasih kerana memilih Melaka semula dan mempercayai kredibiliti Balai Seni Lukis Melaka dalam mempamerkan karya.
“Saya berharap pameran ini bukan sahaja bakal dikunjungi peminat seni tetapi juga pengunjung tempatan serta luar negara selain akan menarik minat golongan muda untuk menghargai seni,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.