Sorting by

×

549 KANAK-KANAK BAWAH 6 TAHUN DI MELAKA DIDIAGNOS AUTISME

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

TANJUNG BIDARA 16 Ogos – Seramai 2,688 didiagnos autisme di Melaka merangkumi pelbagai peringkat umur, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, 549 daripadanya adalah kanak-kanak di bawah usia 6 tahun.

Ab Rauf berkata, setiap angka itu bukan sekadar data, tetapi mewakili seorang anak, sebuah keluarga, dan sebuah harapan pada masa akan datang.

“Justeru, kita sebagai sebuah kerajaan, wajib menyediakan ruang untuk mereka berkembang.

“Kita tidak boleh membiarkan mana-mana anak terpinggir hanya kerana keistimewaan mereka berbeza. Mereka berhak dirai, dibimbing dan diberi peluang yang adil yang pastinya bakal menjadi penyumbang kepada masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Tabika Tunas Istimewa @ KEMAS di Tabika Tunas Istimewa, Ayer Hitam Pantai yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ketua Menteri berharap Tabika Tunas Istimewa yang dimulakan di Melaka bajal menjadi model nasional dan membuka jalan kepada lebih banyak kejayaan pendidikan inklusif di seluruh Malaysia.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk menyediakan lebih banyak ruang dan platform untuk membantu anak-anak istimewa di negeri ini menerusi pelbagai program khas yang memberi manfaat kepada mereka.

“Sebagai contoh, program Saringan Awal Anak Istimewa yang dijalankan baru-baru ini di DUN Duyong secara percuma merupakan antara usaha penting yang patut diperluaskan bukan sahaja ke seluruh negeri bahkan seluruh negara,” tambah beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

547
Kongsi :
Previous post MELAKA PERMULAAN ‘GAME CHANGER’ KKDW PERKASA PENDIDIKAN ANAK ISTIMEWA
Next post TABIKA BERKEPERLUAN KHAS DI SETIAP DAERAH BERMULA 2027 – TPM