Sorting by

×

TABIKA BERKEPERLUAN KHAS DI SETIAP DAERAH BERMULA 2027 – TPM

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

TANJUNG BIDARA 16 Ogos – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menggariskan tiga fasa bagi penubuhan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Berkeperluan Khas di negara ini di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, fasa pertama tahun 2025 merupakan peringkat rintis, di mana sebanyak tiga Tabika KEMAS Tunas Istimewa telah beroperasi di Melaka membabitkan tiga daerah iaitu Alor Gajah,
Jasin, dan Melaka Tengah.

Jelas beliau, tahun depan pula merupakan fasa kedua iaitu peringkat nasional dengan pendekatan ‘1 Negeri, 1 Tabika’ akan dilaksanakan, melibatkan 14 negeri dengan 14 buah Tabika, selain menyasarkan penyertaan 196 kanak-kanak berkeperluan khas.

Seterusnya, pada peringkat lanjutan atau fasa 3 pada tahun ahun 2027, beliau memaklumkan, sasaran KKDW adalah ‘1 Daerah, 1 Tabika’ dengan penubuhan 126 buah Tabika khas di seluruh negara yang akan memberi manfaat kepada 1,764 kanak-kanak.

“Kita mesti melihat pendidikan khas sebagai sebahagian penting daripada agenda nasional pendidikan untuk semua kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang mahupun keupayaan.

“KKDW akan terus komited untuk memastikan setiap anak mendapat peluang pendidikan yang adil, inklusif, dan bermakna sejak dari awal usia lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Tabika Tunas Istimewa @ KEMAS di Tabika Tunas Istimewa, Ayer Hitam Pantai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berharap penubuhan Tabika Tunas Istimewa itu dapat membuka pintu masa depan lebih cerah untuk anak-anak istimewa di negara ini.

“Semoga inisiatif ini menjadi panduan membentuk masyarakat penyayang, adil dan inklusif, sambil menyeru semua pihak menjadi suara kepada mereka yang belum mampu bersuara kerana di setiap anak tersimpan masa depan bangsa dan harapan negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

446
Kongsi :
Previous post 549 KANAK-KANAK BAWAH 6 TAHUN DI MELAKA DIDIAGNOS AUTISME
Next post 1,500 GAMATKAN SEMARAK REMBIA NEON WALK DATARAN KERIS