
WRUR REMBIA TERIMA LEBIH 12,000 MAKLUM BALAS POSITIF RAKYAT
REMBIA 17 Ogos – Lebih 12,000 maklum balas positif rakyat telah diterima menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia yang berlangsung selama dua minggu bermula 3 Ogos lalu.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia sekali gus menunjukkan pencapaian terbaik dalam edisi penganjuran WRUR, sekali gus membuktikan inisiatif merakyatkan pentadbiran Kerajaan Negeri itu bukan sahaja diterima, bahkan sampai ke denyut nadi rakyat.
Jelas beliau, maklum balas yang diterima amat penting kerana ia secara tidak langsung membantu memberi nilai tambah dalam meningkatkan lagi kualiti pentadbiran kerajaan untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini.
“Kerajaan Negeri sentiasa terbuka menerima segala kritikan, pandangan, cadangan atau dukungan dalam maklum balas yang diterima ini untuk kita teliti dan beri nilai tambah sekiranya ada kelemahan dalam pentadbiran yang boleh ditambah baik.
“Jadi saya bersama Setiausaha Kerajaan Negeri dan kepimpinan Kerajaan Negeri akan sentiasa meneliti dan menilai maklum balas yang diterima bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
“Pada masa sama, saya juga amat menghargai sokongan padu rakyat yang telah menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri pada ketika ini berjaya menunjukkan satu kecemerlangan dalam aspek pentadbiran dan pengurusan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Penutup Program WRUR DUN Rembia dan Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Melaka di Dataran Keris, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras DUN Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut menzahirkan penghargaan kepada pemimpin masyarakat yang diketuai Fairul Nizam atau lebih mesra disapa ‘YB Along’ kerana telah berjaya meletakkan satu penanda aras baharu kepada penganjuran WRUR.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat di DUN Rembia kerana telah memberikan sokongan luar biasa sepanjang dua minggu berlangsungnya siri WRUR itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.