
WRUR: BUKAN MEDAN PERSAINGAN, BUKA PELUANG WAKIL RAKYAT BERKARYA
REMBIA 17 Ogos – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bukan menjadi medan persaingan untuk wakil rakyat di negeri ini membuktikan siapa lebih hebat.
Sebaliknya, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mahu, program itu menjadi platform untuk setiap pemimpin di negeri ini berkarya dan menonjolkan kreativiti masing-masing untuk menyantuni rakyat di setiap kawasan.
Menurut beliau, meskipun dua edisi terakhir iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong dan Rembia telah meletakkan satu penanda aras yang tinggi, namun ia bukan bermakna pencapaian tersebut perlu ditandingi wakil rakyat lain selepas ini.
“Kita bukan mahu wakil rakyat ini berlawan atau bersaing sesama sendiri untuk membuktikan siapa lebih berjaya menganjurkan WRUR di DUN masing-masing.
“Apa yang lebih penting adalah bagaimana wakil rakyat ini dapat berkarya untuk menyantuni rakyat, di mana kita mahu setiap program atau sentuhan yang dilakukan itu perlulah menyeluruh dan sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi tanpa ada yang tercicir,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Penutup Program WRUR DUN Rembia dan Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Melaka di Dataran Keris, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras DUN Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ketua Menteri, WRUR yang diilhamkan beliau perlu memberi penekanan bahawa pentadbiran Kerajaan Negeri dapat sampai ke denyut nadi rakyat.
Tambahnya, ia juga menjadi platform untuk Kerajaan Negeri mendapatkan setiap maklum balas dalam menambah baik kaedah pengurusan masyarakat yang lebih berkesan dan efisien.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.