Sorting by

×

SANTUNI RAKYAT DI REMBIA TIDAK BERAKHIR DI WRUR

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

REMBIA 17 Ogos – Berakhirnya Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, malam tadi, tidak bermakna tugas menyantuni masyarakat di kawasan itu telah berakhir.

Sebaliknya, Penyelaras DUN Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, pihaknya bersama pemimpin masyarakat akan terus komited untuk memastikan rakyat di kawasan itu terus disantuni dan dibela.

“Di Rembia kita akan terus memastikan impak WRUR ini berterusan dan sudah semestinya kita akan terus menyantuni masyarakat dan rakyat di setiap kawasan setiap hari.

“Meskipun WRUR sudah berakhir, santunan itu perlu diteruskan di semua DUN terlibat dan sebab itulah Kerajaan Negeri melantik Exco pemantau bersempena WRUR supaya setiap aduan yang diterima dapat diselesaikan.

“Saya percaya setiap wakil rakyat di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri sekarang menyedari tugas dan tanggungjawab mereka untuk terus berkarya sebagai pemimpin dan lebih dekat dengan rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Program WRUR DUN Rembia dan Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dataran Keris, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Fairul Nizam menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih di atas sambutan luar biasa warga Rembia apabila lebih 12,000 tampil memberi sokongan dan memeriahkan program yang dianjurkan sepanjang dua minggu WRUR berlangsung.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada agensi dan jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan badan korporat yang turut bersama menjayakan WRUR Rembia yang diadakan pada 3 hingga 16 Ogos.

Jelas beliau, antara pencapaian bermakna yang dapat dijelmakan adalah pemilikan tanah kepada 47 pemohon yang telah menunggu lama, namun berjaya diselesaikan pada WRUR DUN Rembia.

“Selain itu, menerusi WRUR ini juga kita dapat membina gelanggang sukan baharu, baik pulih rumah golongan memerlukan serta penubuhan semula Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) khas untuk anak-anak istimewa.

“Saya percaya, WRUR bukan sahaja semakin dirasai, bahkan kini sudah berada di hati masyarakat,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

479
Kongsi :
Previous post WRUR: BUKAN MEDAN PERSAINGAN, BUKA PELUANG WAKIL RAKYAT BERKARYA
Next post WARGA REMBIA SIFATKAN WRUR LAMBANG PEMIMPIN PRIHATIN, MEDAN PENYATUAN