Sorting by

×

WARGA REMBIA SIFATKAN WRUR LAMBANG PEMIMPIN PRIHATIN, MEDAN PENYATUAN

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

REMBIA 17 Ogos – Inisiatif penganjuran program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang diilhamkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh disifatkan sebagai langkah proaktif dalam memperkukuhkan hubungan antara masyarakat dan pemimpin setempat.

Kepelbagaian program dan aktiviti yang dibawa sepanjang dua minggu berlangsungnya WRUR juga membolehkan masyarakat mendapat pelbagai ilmu dan perkongsian maklumat dengan lebih jelas.

Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Jurina Mohamad Sharif, 48, berkata, berpeluang mengikuti program WRUR memberikannya peluang bekerjasama dan berhubung secara terus dengan pemimpin.

Katanya, inisiatif WRUR yang diperkenalkan Kerajaan Negeri bukan sahaja platform penyelesaian masalah rakyat, malah menjadi penghubung antara masyarakat dan kepimpinan kerajaan.

“Saya mengikuti WRUR DUN Rembia ini dan apa yang boleh dikatakan ia merupakan platform terbaik kerana hal berkaitan penduduk setempat diambil cakna.

“Malah pendekatan ziarah kasih dan menyantuni penduduk kurang berkemampuan juga memperlihatkan bahawa pemimpin komited memastikan tiada siapa yang tercicir dalam menerima manfaat.

“Kepelbagaian program diadakan juga secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan bukan sahaja dalam kalangan masyarakat setempat tetapi juga bersama pemimpin,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Dataran Keris, di sini.

Seorang lagi penduduk DUN Rembia, V. Kuhean, 55, pula memuji inisiatif Kerajaan Negeri merakyatkan pentadbiran menerusi WRUR apabila semua agensi dan jabatan berkampung di suatu tempat dalam satu masa.

“Tidak kira bangsa, semua rakyat disantuni sepanjang WRUR berlangsung malah penduduk sama-sama menjayakannya.

“Malah dikhabarkan penduduk yang mempunyai masalah dapat dibantu segera bagi mencari penyelesaian dan ini menunjukkan keprihatinan pemimpin terhadap masyarakat,” katanya.

Seorang lagi penduduk, R Balachandran, 45, berkata, penganjuran program WRUR perlu diteruskan kerana bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah rakyat dengan mudah, bahkan menjadi medan perpaduan apabila membabitkan penglibatan semua kaum.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

411
Kongsi :
Previous post SANTUNI RAKYAT DI REMBIA TIDAK BERAKHIR DI WRUR
Next post ‘COLOURS OF KELANTAN’ DIJANGKA GAMIT 5,000 PEMINAT SENI