Sorting by

×

VAKSIN MEASLES-RUBELLA: MELAKA LEPASI SASARAN

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BANDARAYA MELAKA 17 Ogos – Lebih 27,000 kanak-kanak berumur enam hingga 59 bulan di Melaka telah menerima suntikan vaksin Measles-Rubella sejak 4 hingga 15 Ogos.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, angka tersebut sekali gus menyaksikan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka telah melepasi sasaran dengan kadar pemberian 60.51 peratus.

Jelas beliau, ia pencapaian itu jauh mengatasi sasaran 12 hari yang ditetapkan iaitu pada kadar 36.36 peratus.

“Sehingga 15 Ogos JKN Melaka telah merekodkan seramai 27,166 atau bersamaan 60.51 peratus kanak-kanak dalam lingkungan usia ditetapkan menerima suntikan vaksin Measles-Rubella.

“Jumlah itu direkod menerusi Aktiviti Imunisasi Tambahan Measles Rubella (MRSIA) Negeri Melaka yang diadakan bermula 4 Ogos lalu.

“Mengikut statistik daerah Melaka Tengah merekodkan bilangan teramai dengan 26,500 kanak-kanak, diikuti Alor Gajah seramai 12,000 orang manakala Jasin pula merekodkan 8,000 kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Negeri Melaka di sebuah pusat beli belah, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr. Ruzita Mustaffa.

Menurut Hee Sem, meskipun jumlah direkodkan melepasi sasaran namun promosi berterusan dan pemantauan akan terus dilakukan bagi memastikan kanak-kanak di negeri ini dilindungi daripada ancaman demam campak (measles) dan rubella, selain dapat mengawal penularan penyakit berjangkit.

“Ini bagi memastikan sasaran harian pemberian vaksin dapat dicapai selain Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) pula diminta untuk melaksanakan segera tindakan susulan bagi kanak-kanak yang tidak hadir,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

424
Kongsi :
Previous post ‘COLOURS OF KELANTAN’ DIJANGKA GAMIT 5,000 PEMINAT SENI
Next post 77 ‘DUTA KECIL’ MAIM DIRAIKAN