
77 ‘DUTA KECIL’ MAIM DIRAIKAN
KESIDANG 17 Ogos – Sebanyak 77 panel kedai pembekal bantuan makanan bulanan untuk asnaf di seluruh negeri Melaka diraikan pada Majlis Apresiasi dan Dialog Ramah Mesra Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Bersama Pembekal Bantuan Makanan Bulanan Untuk Asnaf Tahun 2025 yang berlangsung di Laman Kaca, Kesidang, di sini, semalam.
Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad berkata, majlis tersebut merupakan program tahunan yang diadakan bagi menghargai usaha dan kerjasama panel pembekal yang dilantik oleh MAIM.
Menurut beliau, pembekal pada tahun ini terdiri daripada 30 buah kedai di daerah Melaka Tengah, 17 di Alor Gajah dan 30 lagi di Jasin.
“Majlis ini penting bagi mengukuhkan hubungan baik yang telah terjalin antara MAIM dan panel pembekal.
“Kita dapat mengumpul maklum balas serta memberi ruang kepada pembekal dalam mengutarakan pandangan dan cabaran bagi menambah baik kualiti penyampaian makanan bulanan khususnya kepada asnaf MAIM di Negeri Melaka,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Pada majlis tersebut, 10 anugerah turut disampaikan kepada pembekal yang telah menawarkan perkhidmatan terbaik serta menunjukkan prestasi cemerlang.
Dalam pada itu, Shaifulfazlee menzahirkan keyakinan pengukuhan jalinan kerjasama di antara MAIM dan panel pembekal dapat menambah baik pengurusan bantuan makanan, termasuk memberi impak yang lebih positif kepada golongan asnaf.
“Saya mengharapkan semua pembekal dapat menjadi duta kecil MAIM dalam memastikan pengurusan bantuan ini berjalan lancar sekali gus menzahirkan hasrat Kerajaan Negeri dalam menyampaikan amanah dan bantuan kepada rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.