
MELAKA BUKTIKAN KEHADIRAN KERAJAAN BUKAN SEKADAR DILIHAT, TAPI DIRASAI
REMBIA 17 Ogos – Melaka berjaya membuktikan bahawa kehadiran kerajaan bukan sekadar untuk dilihat, tetapi dirasai rakyat menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).
Inisiatif yang dicetuskan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bertujuan ‘merakyatkan’ pentadbiran Kerajaan Negeri itu kini mencerminkan komitmen dan iltizam berterusan kerajaan dalam memastikan bahawa rakyat sentiasa menjadi agenda utama.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, menerusi WRUR, rakyat tidak lagi berasa jauh dari pentadbiran, malah dapat mendekati, bertanya, menyuarakan isu dan menerima penyelesaian secara langsung.
“Ini semua menunjukkan komitmen kerajaan membantu rakyat bukan sahaja di atas kertas, tetapi dizahirkan melalui tindakan, kehadiran dan program seperti WRUR.
“WRUR ini adalah bukti nyata bahawa kerajaan tidak pernah leka atau alpa, bahkan sentiasa menjadikan aspirasi rakyat sebagai paksi kepada segala dasar dan tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Program WRUR DUN Rembia dan Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dataran Keris, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan kekal berdiri teguh, menjadi benteng kukuh, dan bekerja sebagai satu pasukan dalam memastikan kesinambungan penyampaian kepada rakyat tidak tergendala, malah terus diperkasakan setiap masa.
“Saya amat berharap agar segala pengisian yang telah dilaksanakan ini dapat memberikan kesan langsung kepada kesejahteraan hidup masyarakat, dan menjadi asas kepada pembangunan DUN Rembia yang lebih progresif dan inklusif.
“Kita mahu setiap kampung, taman dan penempatan di DUN Rembia merasai kehadiran kerajaan, bukan sekadar melihat dari jauh. Kita mahu anak-anak muda terus beraspirasi, para ibu bapa berasa yakin, dan warga emas berasa dihargai,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.