Sorting by

×

60 PERATUS ISU ‘JALAN GELAP’ DI MELAKA SELESAI

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER LIMAU 17 Ogos – Kerajaan Negeri telah menyelesaikan hampir 60 peratus masalah jalan gelap di Melaka menerusi pemasangan lampu LED solar di jalan utama serta lebuh raya.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, usaha itu mula dilaksanakan secara berperingkat sejak tahun lalu.

“Jalan-jalan utama yang dikenal pasti sebagai kawasan ‘black spot’ atau kerap berlaku kemalangan telah diberi keutamaan.

“Bagi Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), pencahayaannya telah siap sepenuhnya dari Sungai Udang sehingga ke Ayer Keroh.

“Manakala Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) pula hanya tinggal sekitar dua peratus yang belum diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Program Wira Disanjung, Bakti Dikenang Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Padang Bola A, Taman Sri Aman, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka, Abdul Hakim Abdul Wahid.

Menurut Hameed, selain lebuh raya, pemasangan lampu jalan di kawasan luar bandar turut diberi perhatian, antaranya melibatkan lokasi di Asahan, Rim, Machap serta Masjid Tanah yang kini hampir 80 peratus siap.

“Dasar kita sekarang semua lampu adalah lampu solar. Baru-baru ini juga kita meluluskan peruntukan hampir RM1.7 juta bagi pemasangan lampu di jalan kampung atau lorong kecil, yang akan ditentukan oleh pejabat daerah bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

“Secara keseluruhan hampir RM6 juta diperuntukkan tahun ini hasil kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Kerajaan Negeri untuk pemasangan dan penyesuaian lampu di seluruh Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

448
Kongsi :
Previous post MELAKA BUKTIKAN KEHADIRAN KERAJAAN BUKAN SEKADAR DILIHAT, TAPI DIRASAI
Next post ‘AYUH RAKYAT MELAKA, ZAHIRKAN RASA CINTA PADA NEGARA’ – KM