
‘AYUH RAKYAT MELAKA, ZAHIRKAN RASA CINTA PADA NEGARA’ – KM
REMBIA 17 Ogos – Rakyat Melaka diseru untuk bersama dalam mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, premis perniagaan dan kenderaan masing-masing bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, seruan itu bagi menunjukkan semangat kebersamaan negeri ini dalam menzahirkan rasa cinta pada negara.
“Saya menyeru seluruh rakyat menunjukkan semangat patriotik kepada negara yang kita cintai selepas 60 tahun kita mengecap kemerdekaan.
“Kibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda sayang dan kasih pada negara dan Negeri Melaka dalam kita menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Penutup Program WRUR DUN Rembia dan Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Melaka di Dataran Keris, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras DUN Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut mengingatkan rakyat di negeri ini agar sentiasa memastikan kibaran Jalur Gemilang dilakukan dengan betul dan penuh rasa hormat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.