
MAIM AGIH KUTIPAN ZAKAT RM92.5 JUTA KEPADA ASNAF
KESIDANG 18 Ogos – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mengagihkan dana zakat berjumlah RM92.5 juta kepada golongan asnaf, fakir dan miskin di seluruh Melaka sepanjanh Januari hingga Julai tahun ini.
Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad berkata, setakat Julai lalu, Pusat Zakat Melaka berjaya mengutip RM83.1 juta, manakala agihan MAIM mencecah 111 peratus daripada jumlah berkenaan.
“Berdasarkan rekod kami, daripada bulan Januari hingga Julai 2025, seramai 8,659 orang asnaf, fakir dan miskin di Melaka menerima manfaat daripada dana zakat yang berjaya dikutip hasil sumbangan pembayar zakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Dialog Ramah Mesra MAIM Bersama Pembekal Bantuan Makanan Bulanan MAIM Tahun 2025 di Laman Kaca, Kesidang, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Shaifulfazlee berkata, pihaknya sentiasa cakna terhadap kenaikan kos sara hidup, justeru beberapa skim bantuan ditambah baik, selain skim baharu turut diperkenalkan pada tahun ini.
“Kadar Bantuan Makanan Bulanan bagi asnaf, miskin dan mualaf dinaikkan daripada RM250 kepada RM300, manakala Bantuan Persiapan Persekolahan bagi anak asnaf turut meningkat daripada RM300 kepada RM350.
“Selain itu, jumlah kuota bagi penerima Bantuan Haemodialisis turut ditambah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.