Sorting by

×

MAIM SASAR 1,000 SUKARELAWAN BSAT TAHUN INI

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER MOLEK 17 Ogos – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menyasarkan 1,000 individu akan menyertai Badan Sukarelawan Al-Taqwa (BSAT) menjelang hujung tahun ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, setakat ini BSAT telah disertai seramai 225 ahli yang masih aktif.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi MAIM memaklumkan, sukarelawan berkenaan berperanan sebagai pasukan bantuan awal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing terutama ketika berlaku bencana.

“Sukarelawan BSAT ini akan tampil ke hadapan membantu masyarakat setempat serta membawa nama baik MAIM.

“Kesemua sukarelawan BSAT telah mengikuti kursus yang memberi pendedahan berkaitan kesihatan, pertolongan cemas, keselamatan dan asas menghadapi kecemasan termasuk kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan Majlis Watikah Pelantikan Sukarelawan Al-Taqwa (BSAT) Tahun 2025 dan Program Kesiapsiagaan Bencana: Simulasi Operasi Menyelamat dan Bantuan di Japerun Ayer Molek, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad dan kenamaan lain.

Pada majlis tersebut seramai 115 ahli BSAT telah menerima vest dan watikah pelantikan baharu.

Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Pengerusi BSAT berkata, pihaknya turut mengalu-alukan penyertaan golongan belia dan anak muda di negeri ini untuk menyertai BSAT.

“Keahlian BSAT terbuka tanpa had umur dan ketika ini, penyertaan telah diterima dari seluruh DUN di Melaka, namun usaha penyertaan menyeluruh membabitkan pelbagai lapisan umur masih dipergiatkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2706
Kongsi :
Previous post ‘AYUH RAKYAT MELAKA, ZAHIRKAN RASA CINTA PADA NEGARA’ – KM