
DUN AYER LIMAU KENANG JASA 1,000 VETERAN ‘WIRA NEGARA’
AYER LIMAU 19 Ogos – Lebih 1,000 veteran yang menabur bakti mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara diraikan menerusi Program Wira Disanjung, Bakti Dikenang Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, program dianjurkan sempena hari pahlawan itu mendapat sambutan luar biasa berbanding jangkaan awal hanya sekitar 500 hingga 600 orang.
“Syukur Alhamdulillah, program ini di luar jangkaan. Kehadiran lebih 1,000 orang menunjukkan veteran masih bersemangat dan berjiwa kental untuk hadir walaupun ada yang uzur dan tidak sihat. Malah ada yang sanggup meminta anak-anak menghantar mereka ke program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada program itu di Padang Bola A, Taman Sri Aman, Masjid Tanah, di sini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka, Abdul Hakim Abdul Wahid.
Beliau yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, program itu turut mendapat kerjasama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Cawangan Melaka, Cawangan Masjid Tanah, Persatuan Veteran Komando serta Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Daripada jumlah kehadiran, 90 peratus adalah masyarakat di DUN Ayer Limau, manakala sebahagian lagi melibatkan komuniti komando di Parlimen Masjid Tanah.
“Jadi secara keseluruhan, hampir 900 orang adalah warga DUN Ayer Limau sendiri,” katanya.
Menurut Hameed, program itu bukan sahaja mengeratkan silaturahim dalam kalangan veteran tetapi juga memberi ruang kepada masyarakat untuk mengenang jasa mereka yang pernah berjuang demi keamanan negara.
“Kita akan memastikan kebajikan golongan veteran terus terpelihara, sekali gus memastikan pengorbanan mereka tidak dilupakan generasi akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.