Sorting by

×

LINTAS HORMAT PESAWAT TUDM 31 OGOS INI

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 18 Ogos – Orang ramai berpeluang menyaksikan lintas hormat pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 Peringkat Negeri Melaka di Persiaran Jalan Merdeka, Banda Hilir pada 31 Ogos ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Melaka merupakan satu-satunya negeri diberi pengiktirafan oleh Kerajaan Persekutuan bagi acara istimewa itu, sekali gus menjadikan sambutan kali ini lebih bermakna.

“Pada 30 Ogos kita anjurkan ambang merdeka, manakala 31 Ogos rakyat Melaka akan dapat menyaksikan pelbagai aksi menarik daripada aset udara TUDM.

“Saya meminta seluruh rakyat hadir beramai-ramai memeriahkan sambutan ini, selain mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing sebagai tanda cintakan tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Bagi Bulan Ogos 2025 dan Kibar Jalur Gemilang Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, barisan Exco, Timbalan Exco Kerajaan Negeri, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata perarakan Hari Kebangsaan Melaka pada tahun ini akan menampilkan pelbagai elemen baharu serta faktor ‘wow’ termasuk penyertaan kontinjen pelbagai agensi, persembahan kebudayaan dan pertunjukan khas.

“Orang ramai khususnya rakyat Melaka dipelawa untuk hadir pada sambutan Hari Kebangsaan nanti dan kita akan dapat menyaksikan pelbagai aksi-aksi yang menarik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

388
Kongsi :
Previous post WTD2025 PEMANGKIN EKONOMI, BERI IMPAK BESAR KEPADA RAKYAT MELAKA
Next post PENJAWAT AWAM USAH BERLENGAH KUASAI AI – KM