Sorting by

×

PENJAWAT AWAM USAH BERLENGAH KUASAI AI – KM

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 18 Ogos – Penjawat awam di Melaka diminta segera meneroka dan menguasai kemahiran berkaitan kecerdasan buatan (AI) bagi memperkasakan pentadbiran Kerajaan Negeri seiring dengan perubahan serta perkembangan dunia teknologi semasa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, teknologi AI bakal menjadi pemangkin utama dalam pelbagai urusan termasuk pentadbiran kerajaan, sekali gus menjadikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat lebih efisien.

“Penjawat awam mesti bersedia menempuh cabaran baharu dalam dunia serba canggih ini dengan mempertingkatkan ilmu berkaitan teknologi AI. Jangan berlengah lagi untuk mendalami bidang ini kerana ia akan membantu mempercepatkan urusan bersama rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Bagi Bulan Ogos 2025 Dan Kibar Jalur Gemilang Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, barisan Exco, Timbalan Exco Kerajaan Negeri, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri.

Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri turut melaksanakan beberapa langkah bagi memperkasa penjawat awam menghadapi era digital.

“Antaranya menyediakan latihan digital dan etika AI untuk semua peringkat penjawat awam, memberi penekanan terhadap nilai integriti, layanan mesra pada setiap pertemuan dengan rakyat, menggalakkan penggunaan data serta teknologi bagi memantau selain mempercepatkan penyelesaian aduan.

“Langkah ini penting supaya penjawat awam lebih cekap, telus dan mesra rakyat dengan dibantu teknologi moden yang semakin berkembang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

485
Kongsi :
Previous post LINTAS HORMAT PESAWAT TUDM 31 OGOS INI
Next post PRESTASI KEWANGAN MELAKA TERUS KUKUH – KM