Sorting by

×

BULI : TIADA KOMPROMI, AMBIL TINDAKAN JIKA TERLIBAT

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 19 Ogos – Kerajaan Negeri menegaskan tidak akan  berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku pelajar khususnya melibatkan kes buli di sekolah.

Peringatan daripada Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman itu adalah susulan insiden kejadian pelajar senior membuli rakan mereka dilaporkan di sebuah asrama pada 16 Ogos lalu.

Sebagai Exco bertanggungjawab, Rahmad amat berdukacita atas kejadian itu kerana ia menyentuh aspek keselamatan, kebajikan selain menjadi hak setiap pelajar untuk berada dalam suasana pembelajaran selamat, beretika dan kondusif.

“Pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka tidak akan berkompromi dalam hal ini. Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan tindakan tegas akan diambil kepada pihak berkenaan jika terbukti terlibat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, selain PPD dan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, pihak sekolah juga sudah mengambil tindakan awal dengan menjalankan siasatan dalaman sejurus menerima laporan.

“Saya amat menghargai kerjasama ibu bapa dan pihak pengurusan sekolah dalam menangani isu ini. Kepada pihak pengurusan yang lain sekolah di Melaka, diingatkan supaya meningkat lagi tahap pemantauan bagi membendung kejadian buli, selain pada masa sama memperbanyakkan program penerapan nilai, sahsiah dan pencegahan salah laku.

“Kepada orang ramai berada sekeliling, jika ada maklumat mengenai perkara melibatkan isu keselamatan murid atau pelajar laporkan segera menerusi saluran rasmi sekolah, PPD atau terus ke jabatan pendidikan supaya tindakan dapat diambil dengan cepat dan berkesan,” katanya.

Terdahulu, Polis Melaka mengesahkan dua pelajar senior perempuan disyaki terlibat dalam kes buli dengan mengenakan denda terhadap lebih 20 pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Sungai Udang pada jam 3 pagi, 16 Ogos (Sabtu) lalu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dalam satu kenyataan ringkas dan siasatan melibatkan dua pelajar senior dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

423
Kongsi :
Previous post SEMUA PREMIS DI MELAKA PERLU KIBAR JALUR GEMILANG
Next post POLIS TAHAN TIGA LELAKI, RAMPAS DADAH BERNILAI RM4.16 JUTA