
MPJ BANGUNKAN HAB PEMANTAUAN PINTAR BERASASKAN AI DAN 5G
JASIN 19 Ogos – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) melakar sejarah apabila menjadi satu-satunya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berstatus Perbandaran di negara ini yang menerima Geran AI/5G Cities 2025 daripada Kementerian Digital.
Setiausaha MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata geran itu akan digunakan untuk membangunkan inisiatif ‘Jasin Smart Monitoring Hub’ (Hab Pemantauan Pintar Jasin).
Mengulas lanjut Muhammad Zahiruddin berkata, Jasin Smart Monitoring Hub melibatkan dua komponen utama iaitu Integrated Operation Center (IOC) dan AI – Powered Auto Reminder System.
“Kedua-dua sistem ini turut diintegrasikan bagi membolehkan penduduk menerima pemakluman awal melalui aplikasi Whatsapp mengenai tanda-tanda bencana mungkin boleh menjejaskan mereka.
“IOC akan berfungsi sebagai pusat operasi pintar berasaskan rangkaian 5G dan kamera litar tertutup (CCTV) AI bagi membantu MPJ membuat keputusan lebih tepat serta pantas dalam menangani sebarang bentuk kecemasan.
“Antara fungsi utama IOC adalah mengesan parkir haram, tanda awal banjir, pokok tumbang, tanah runtuh, kemalangan, kebakaran, jenayah dan aktiviti pembuangan sampah haram selain dapat membantu mengesan orang hilang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata, AI-Powered Auto Reminder System pula membolehkan orang ramai berurusan dengan MPJ pada bila-bila masa sahaja termasuk pada luar waktu pejabat.
“Bukan sahaja warga Jasin tetapi rakyat Melaka mungkin ada urusan berkaitan MPJ melibatkan cukai taksiran, sewaan premis atau dewan, aduan dan perkara-perkara lain juga boleh memanfatkan perkhimatan digital ini.
“Usaha ini akan menjadikan MPJ lebih efisien, tahap kecekapan perkhidmatan ditingkatan, mengurangkan ketirisan hasil, membuka ruang komunikasi dan paling penting mesra rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.