Sorting by

×

JAGUNG ‘ONLINE’ JELATANG

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

REMBIA 19 Ogos – Mahu menjana pendapatan sampingan sambil bersedekah mendorong Noraidi Nordin, 64, mengusahakan tanaman jagung manis secara kecil-kecilan di belakang kediamannya di Kampung Jelatang, di sini, sejak bersara daripada perkhidmatan Jabatan Penjara Malaysia pada 2017.

Malah dia memanfaatkan sepenuhnya medium ‘online’ (dalam talian) untuk memasarkan secara terus produk jagung manis yang segar dari kebun kepada pelanggan sekitar Alor Gajah.

Katanya, keadah pemasaran itu amat berkesan apabila jagung dipasarkan laris dan tidak perlu menunggu lama untuk sampai kepada pelanggan.

“Saya amalkan teknik penanaman berfasa, iaitu sekitar 1,000 pokok sahaja. Namun selang masa antara fasa tidak lama sekitar dua minggu sahaja, jika terlalu jauh dikhuatiri bekalan jagung akan terputus sedangkan permintaan sentiasa ada.

“Pada usia emas ini saya manfaatkan peluang menerusi bercucuk tanam untuk bersedekah, pada kebiasaan enam tongkol jagung dijual RM10, tetapi saya beri percuma satu tongkol kepada pelanggan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Pesara wardar itu berkata, pada peringkat awal dia berhadapan pelbagai cabaran termasuk cuma menikmati hasil 98 tongkol jagung daripada keseluruhan 1,000 pokok ditanam akibat serangan monyet.

Menurutnya, mengikut kebiasaan 15 peratus daripada pokok disemai tidak menjadi atau gagal menghasilkan buah berikutan serangan penyakit dan ancaman haiwan.

“Selepas 70 hari atau dua bulan setengah saya sudah boleh mengutip hasil yang kebiasannya sekitar 700 lebih tongkol. Pendapatan kasar pula sekitar RM500 ke 600 untuk sekali tuaian, namun masih ada untung modal pula tidak begitu besar.

“Apa yang saya lakukan sekarang sekadar mencari kepuasan, mengisi masa lapang selepas bersara dan menikmati nikmat setiap detik masa yang dikurniakan oleh Allah SWT,” katanya.

Sementara itu, bagi mengurangkan beban kerja Noraidi turut menggunakan kreativiti untuk menghasilkan ‘mini sprinkler’ bagi memastikan tanaman diusahakan mendapat bekalan air mencukupi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

411
Kongsi :
Previous post MPJ BANGUNKAN HAB PEMANTAUAN PINTAR BERASASKAN AI DAN 5G
Next post ‘SEMARAK REMBIA’ LETAKKAN RAKYAT NOMBOR SATU