
MERDEKA LEBIH BERMAKNA DI DUN PANTAI KUNDOR
PANTAI KUNDOR 21 Ogos – Pelbagai program sempena Bulan Kebangsaan yang diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor menyemarakkan lagi semangat cintakan tanah air.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @Mohd Hashim berkata, selain penganjuran aktiviti bersama masyarakat turut difokuskan adalah program memperingati atau mengenang semangat pahlawan-pahlawan negara.
“Sepanjang Bulan Kebangsaan di DUN Pantai Kundor kita mengadakan pelbagai program ia bukan sahaja untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan penduduk malah bagi memperingati kembali jasa-jasa serta semangat pejuang terdahulu.
“Selain menganjurkan program ambang Merdeka seperti agihan Jalur Gemilang dan Konvoi Semarak Jalur Gemilang kita turut mengadakan program ziarah kasih menyantuni penduduk,” katanya.
Tuminah yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis Sambutan Kemerdekaan Ke-68 Dan Program Pembersihan Pantai, yang dianjurkan Tanjung Bruas Port (TBP) Sdn. Bhd. di Pelabuhan Tanjung Bruas, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Melaka Berhad (KMB) Akmal Abdul Manap dan Ketua Syarikat TBP Sdn. Bhd. Khairul Anuar Othman.
Menurut Tuminah, selain komuniti, pihak Japerun juga turut menyantuni golongan nelayan yang sinonim dengan DUN Pantai Kundor menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan membaiki bot-bot nelayan yang rosak.
“Kita sering menerima aduan daripada nelayan-nelayan membabitkan bot mereka yang mengalami kebocoran justeru itu kita akan turun untuk menyantuni serta menghulur bantuan.
“Justeru itu, kita bersama-sama dengan MARA akan mengadakan Program MARA Prihatin Penyelenggaraan Bot Nelayan, di mana menerusi program ini nelayan yang menghadapi masalah bot bocor akan disantuni,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.