
PROJEK HIDROPONIK PEMANGKIN SOSIOEKONOMI PENDUDUK KAMPUNG PULAU
TANJUNG BIDARA 21 Ogos – Projek Hidroponik UniMADANI yang dilaksanakan sebagai projek rintis di Kampung Pulau, di sini, bakal memberi manfaat besar kepada komuniti.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek berkenaan dilihat berupaya menjadi pemangkin transformasi sosioekonomi masyarakat setempat, khususnya golongan wanita.
Jelas beliau, melalui penggunaan teknologi fertigasi pintar berasaskan Internet Kebendaan (IoT) dan teknologi LORA, komuniti setempat dapat meningkatkan hasil pertanian moden serta menambah sumber pendapatan.
“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha sebegini yang bukan sahaja memodenkan pertanian, malah memperkukuh pemberdayaan komuniti desa agar seiring dengan aspirasi Melaka menuju negeri maju dan sejahtera,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau.
Meskipun berdepan jadual padat, Ab Rauf sempat meninjau projek berkenaan yang dibangunkan hasil kerjasama Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka dan JPKK Kampung Pulau Masjid Tanah.
Projek di bawah inisiatif Pendayaan Komuniti Universiti Awam @ UniMADANI itu diketuai oleh Dr. Ahamed Fayeez Tuan Ibrahim dari Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer, UTeM.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.