
MELAKA LANCAR PROGRAM BIJAK STPM 2025
AYER KEROH 21 Ogos – Pelancaran Program BIJAK Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 diharap dapat meningkatkan lagi tahap pengetahuan anak muda berhubung sejarah negara dan pada masa yang sama memupuk minat terhadap subjek itu di peringkat sekolah.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata inisiatif dilaksanakan menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) itu adalah kesinambungan kesinambungan hasil kejayaan BIJAK Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Menerusi inisiatif ini Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan hampir RM54,000 yang bakal memberi manfaat kepada lebih 1,078 calon peperiksaan STPM tahun 2025 melibatkan 18 buah sekolah seluruh Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang STPM, Sijil Tingga Agama Malaysia (STAM) dan Pelajar Huffaz Tahun 2024 dan Majlis Pelancaran BIJAK STPM 2025 Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman bersama timbalannya Datuk Rosli Abdullah, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh, Pengurus Besar TAPEM, Abdul Aziz Baba serta Pengarah Pelajaran Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor.
Pada majlis sama, Ab Rauf turut menyampaikan insentif berjumlah keseluruhan RM90,200 daripada TAPEM kepada 213 pelajar cemerlang akademik Negeri Melaka.
Insentif terbabit diagihkan mengikut tahap kecemerlangan pelajar termasuk penerima Anugerah Pelajar Terbaik Kebangsaan, pelajar Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK), kategori BIJAK STPM, Mumtaz Sufi, Mumtaz serta 134 Huffaz berjaya hafaz 30 juzuk al-Quran.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.