
HARI BERTEMU PELANGGAN MUALAF MERIAH
KESIDANG 21 Ogos – Hari Bertemu Pelanggan Bersama Mualaf Negeri Melaka 2025 membantu saudara baharu mendapatkan maklumat berhubung perkhidmatan disediakan agensi dan jabatan kerajaan untuk memudahkan urusan mereka selepas bergelar individu Muslim.
Program dianjurkan buat pertama kali, berlangsung di Kompleks Darul Huda, Balai Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di sini, hari ini, meriah dengan kehadiran seramai 150 mualaf dari seluruh Melaka.
Antara agensi dan jabatan yang menjayakan program itu adalah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Saudara baharu yang hadir turut diberikan penerangan berkaitan pengurusan hal ehwal dan isu berkaitan mualaf seperti pendaftaran dan pengurusan harta pusaka melalui perlaksanaan wasiat.
Sesi penerangan juga memberikan lebih pemahaman dalam kalangan saudara baharu terutamanya berkaitan status agama pada kad pengenalan atau pertukaran nama selepas memeluk agama Islam.
Malah Badan Sukarelawan At-Taqwa (BSAT) pula turut menyediakan kaunter saringan kesihatan percuma dan ‘free market’ yang mana pengunjung yang memerlukan boleh memilih pakaian terpakai secara percuma.
Penganjuran Hari Bertemu Pelanggan Bersama Mualaf Negeri Melaka Tahun 2025 ini bukan sahaja platform perkongsian maklumat tetapi merapatkan lagi ukhuwah antara mualaf dan pihak pengurusan Balai Islam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.