Sorting by

×

WUJUDKAN PUSAT PENJAJA MODEN DI REMBIA

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

REMBIA 22 Ogos – Dalam usaha memperkasa bidang keusahawanan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, sebuah pusat penjaja atau ruang perniagaan baharu dicadang untuk dibangunkan di kawasan itu.

Cadangan tersebut dilontarkan Penyelaras DUN Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan yang mahu memperkasa peniaga kecil di kawasan itu untuk terus berkembang.

Menurut beliau, permohonan itu akan diangkat ke Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan amat berharap ia dapat direalisasikan.

“Ruang perniagaan baharu diperlukan memandangkan di Rembia tiada lagi pembinaan gerai-gerai baharu dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

“Sekiranya dapat direalisasikan, saya berharap ruang perniagaan atau pusat penjaja baharu ini dapat dibina di lokasi-lokasi strategik dan bukannya kawasan terpencil.

“Saya juga berharap agar ruang perniagaan ini diberi keutamaan khas kepada penduduk di Rembia untuk menyewa dan menjalankan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata demikian ketika wawancara khas bersama Melaka Hari Ini bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Rembia.

Dalam pada itu, Fairul Nizam memaklumkan, aktiviti perniagaan di Rembia kini semakin rancak susulan rata-rata peniaga di kawasan itu bernaung di bawah Persatuan Penjaja dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang aktif menganjurkan pasar malam dan pasar pagi.

Jelas beliau, penganjuran pasar malam dan pasar pagi itu, sekali gus membuka pintu rezeki buat peniaga tempatan di kawasan itu untuk menjana pendapatan secara berterusan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

508
Kongsi :
Previous post MERIAHKAN BULAN KEBANGSAAN, PPSPM EDAR 200 JALUR GEMILANG
Next post UDANG GALAH ‘LUBUK’ REZEKI ANAK MUDA