Sorting by

×

200 BERKONVOI SEBAR MESEJ PERPADUAN, SAYANGKAN NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

PANTAI KUNDOR 21 Ogos – Seramai 200 pemilik motosikal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor berkonvoi mengelilingi DUN itu sambil mengibarkan Jalur Gemilang bagi menterjemahkan rasa cinta dan semangat sayangkan negara.

Aktiviti itu adalah antara pengisian program Konvoi Semarak Jalur Gemilang sebagai menjunjung semangat tema Hari Kebangsaan Kali ke-68 tahun iaitu ‘Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni’.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, konvoi motosikal menyebarkan mesej perpaduan dan patriotisme itu melalui 12 taman perumahan dan dua kampung sekitar DUN Pantai Kundor.

Katanya, aktiviti disusun amat sesuai dengan saranan kerajaan dalam memperkasakan semangat patriotisme, sekali gus menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang, kaum, bangsa dan agama.

“Konvoi ini juga membawa mesej amat besar dan bermakna untuk dihayati 50,000 warga dun Pantai Kundor, iaitu bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda Malaysia sebuah negara berdaulat.

“Tema program konvoi ini ‘Patriotisme Disemai, Ukhuwah Dihayati’ perlu disemarakkan dan menjadi pemangkin untuk terus berkasih sayang, memperkukuh perpaduan serta mencintai negara ini dengan seikhlas hati,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelepasan Konvoi Semarak Jalur Gemilang dan Program MARA Prihatin Penyelenggaraan Bot Nelayan DUN Pantai Kundor 2025 di Pentas Budaya Pantai Puteri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor merangkap Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Tuminah Kadi @Mohd Hashim serta kenamaan lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

286
Kongsi :
Previous post BANGUNAN ASRAMA SEKOLAH MENENGAH PAY FONG DIJANGKA SIAP FEBRUARI 2026
Next post HARGAI PERANAN, JASA NELAYAN – KM