
HARGAI PERANAN, JASA NELAYAN – KM
PANTAI KUNDOR 21 Ogos – Bagi memastikan nelayan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor tidak berdepan kesulitan untuk keluar mencari rezeki, seramai 42 pelajar Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah, turun padang bagi menghulurkan bantuan dengan menyelenggara bot milik golongan berkenaan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha itu adalah antara pengisian program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dilaksanakan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi KKTM Masjid Tanah.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan terhadap pelajar dan 16 tenaga pengajar KKTM Masjid Tanah kerana kesudian mereka menyumbangkan tenaga serta kepakaran memberikan faedah kepada nelayan yang turut dianggap sebagai ‘wira lautan’.
“Usaha ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan rakyat khususnya golongan nelayan yang disifatkan sebagai wira lautan. Mereka bangun sebelum subuh, menempuh ombak dan badai demi memastikan kelangsungan hidup rakyat terjamin. Terima kasih warga nelayan.
“Ini bukan sekadar membaiki bot, tetapi soal masa depan keluarga nelayan. Bot adalah periuk nasi, harapan dan nyawa yang menghubungkan laut dengan meja makan rakyat Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvoi Semarak Jalur Gemilang dan Program MARA Prihatin Penyelenggaraan Bot Nelayan DUN Pantai Kundor 2025 di Pentas Budaya Pantai Puteri, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor merangkap Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Tuminah Kadi @Mohd Hashim serta kenamaan lain.
Ab Rauf berkata, penyelenggaraan dilaksanakan menerusi program itu melibatkan kerja-kerja menampal, mengecat dan membaiki kerosakan dikesan pada struktur bot nelayan.
Katanya, kerja-kerja itu melihatkan peruntukan berjumlah RM45,000 dengan pecahan RM20,000 sumbangan MARA, manakala RM25,000 lagi daripada Ahli Dewan Undangan Adun Pantai Kundor.
“Menerusi CSR ini pelajar dan tenaga pengajar KKTM Masjid Tanah akan menyelenggara 21 bot nelayan. Usaha ini memberi makna yang besar kerana diselitkan dengan elemen kasih sayang, kepedulian serta semangat untuk membantu selain menjaga kebajikan golongan memerlukan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.