Sorting by

×

MERIAHKAN BULAN KEBANGSAAN, PPSPM EDAR 200 JALUR GEMILANG

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

BANDA HILIR 22 Ogos – Bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan tanah air, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) melaksanakan inisiatif mengagihkan kira-kira 200 Jalur Gemilang kepada orang ramai termasuk pelancong.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shaharul Azuar Idris berkata, edaran Jalur Gemilang itu dilakukan di lokasi tumpuan sekitar Banda Hilir seperti Jeti Taman Rempah, Jeti Muara Sungai Melaka dan Bangunan Stadthuys.

Katanya, PPSPM turut memeriahkan Bulan Kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kawasan jeti dan bot Melaka River Cruise.

“Edaran Jalur Gemilang ini juga bertujuan untuk menaikkan momentum menyambut Bulan Kebangsaan, secara tidak langsung meningkatkan kesedaran serta mengajak orang ramai menghayati erti Kemerdekaan.

“PPSPM mengharapkan agar sambutan Kemerdekaan ke-68 tahun ini dapat diraikan bukan sahaja dalam suasana yang meriah tetapi memupuk semangat cintakan tanah air,” katanya ketika ditemui selepas mengedarkan Jalur Gemilang di Bangunan Stadthyus, di sini, semalam.

Menurut Shaharul Azuar, bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka pada 31 Ogos ini, pihaknya menggerakkan 30 bot Melaka River Cruise dan enam buah ‘jet ski’ bagi memeriahkan segmen perarakan air.

“Perarakan bot Melaka River Cruise melibatkan kerjasama Tourism Melaka dan turut dijayakan 1,000 peserta mewakili beberapa Japerun, agensi serta Jabatan Kerajaan Negeri, pastinya suasana sambutan nanti akan bertambah meriah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

529
Kongsi :
Previous post TAPEM TERUS BERJASA, PERKASA AGENDA PENDIDIKAN ANAK MELAKA
Next post WUJUDKAN PUSAT PENJAJA MODEN DI REMBIA