
XPLORE VISTA I-PLUS PETRONAS PUPUK MINAT PELAJAR TERHADAP TVET
Pengurus Besar Ketua Pelaburan Modal Insan PETRONAS Ahmad Munir Akram Ahmad Faiz berkata, program itu merupakan langkah strategik syarikat dalam membangunkan bakat muda secara mampan dan menyeluruh.
“Program ini bertujuan memberi pendedahan awal mengenai dunia kemahiran, khususnya dalam sektor minyak dan gas yang terus berkembang pesat serta memerlukan tenaga kerja mahir dan berkaliber.
“Selain itu, ia juga diharap dapat membuka minda pelajar terhadap potensi besar kerjaya berasaskan TVET, sekali gus menggalakkan mereka meneroka peluang dalam bidang tersebut serta menjadi pengalaman yang bermanfaat kepada semua peserta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Munir berkata, program itu melibatkan 150 pelajar tingkatan tiga bersama guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Molek, SMK Padang Temu, SMK Ayer Keroh, SMK Bukit Katil dan SMK Simpang Bekoh.
Program itu disempurnakan oleh Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET Negeri Melaka Datuk Khaidhirah Datuk Seri Abu Zahar.
Antara aktiviti interaktif yang dijalankan ialah demonstrasi pendawaian, simulasi atas talian, bengkel jentera berat serta demonstrasi kursus secara kolaboratif dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Turut diadakan sesi perkongsian pengalaman oleh alumni IKM Jasin serta pameran pendidikan dan industri melibatkan pelbagai institusi dan kontraktor TVET.
Sejak diperkenalkan pada 1992, Program Penajaan Institusi Vokasional dan Bantuan Latihan (VISTA) telah memberi manfaat kepada 37 institusi di seluruh negara dengan pelaburan melebihi RM95 juta, melahirkan lebih 14,000 lepasan yang berkemahiran.
Kini melalui Program Pembangunan Bakat Terampil Bersepadu Vokasional Evolusi (VISTA i-plus), pendekatan lebih holistik dipacu industri dilaksanakan dengan kerjasama rapat agensi kerajaan serta institusi latihan bagi memenuhi keperluan semasa pasaran kerja dan perkembangan teknologi.
Inisiatif ini turut disokong oleh PETRONAS bersama Malaysian Oil & Gas Services Council (MOGSC), Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), kontraktor minyak dan gas serta kementerian berkaitan.
Di Melaka, program berkenaan memberi manfaat khususnya kepada pelajar IKM Jasin dalam bidang berkemahiran tinggi termasuk Kimpalan 6G dan Penjaga Jentera Tahap A4, sejajar dengan penubuhan Majlis TVET Melaka bagi memperkasakan agenda TVET negeri.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.