Sorting by

×

KITARECYCLE: INISIATIF LESTARIKAN BUMI

Masa Membaca:2 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 23 Ogos – Kitar semula adalah usaha kecil yang sebenarnya jika diamalkan oleh setiap individu akan memberikan manfaat amat besar dalam usaha untuk terus melestarikan dan menghijaukan semula bumi kita yang kini sudah terlalu tua.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, pihaknya kini agresif untuk membudayakan amalan kitar semula menerusi kempen KITARecycle iaitu inisiatif digital yang bukan sekadar mampu meningkatkan lagi kebersihan persekitaran sebaliknya berupaya mengurangkan jumlah sisa yang perlu dihantar ke tapak pelupusan.

Katanya, bermula dengan 96 orang ketika dilancarkan pada 2018, jumlah keahlian KITARecycle melibatkan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor kini meningkat kepada 136,858 setakat Julai tahun ini, sementara itu barangan kitar semula yang telah berjaya dikumpulkan pula adalah sebanyak 5,615,937 kilogram (kg).

Menurutnya, untuk negeri Melaka sahaja jumlah ahli KITARecycle adalah seramai 21,561 orang dengan barangan kitar semula yang berjaya dikumpulkan adalah sebanyak 649,739 kg setakat Julai lalu.

“Pusat Pandu Lalu KITARecycle di Taman Botanikal Melaka, Ayer Keroh adalah antara 13 kemudahan mengumpul barangan kitar semula di tiga negeri di bawah perkhidmatan SWM Enviroment dan sejak dibuka pada 30 Mei 2023, barangan hampir 78 tan pelbagai jenis bahan terpakai sudah diterima daripada orang ramai dan apa yang menggembirakan angka itu semakin meningkat.

“SWM Environment juga telah membuka sebuah lagi Pusat Pandu Lalu KITARecycle di negeri ini iaitu di Taman Desa Bertam pada 23 November tahun lalu, yang dibangunkan oleh pihak Teladan Group Berhad. Selain itu SWM Enviroment turut menyediakan sangkar KITARecycle di lokasi seperti Masjid Cina Negeri Melaka, Penjara Sungai Udang, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Masjid As-Salam Kesang Tua, Jasin dan Masjid Sayyidina Abu Bakar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM),” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Katanya lagi, terdapat dua buah fasiliti KITARecycle yang disediakan oleh pemaju perumahan PDG Property bagi kegunaan penghuni asrama pekerja mereka di Air Keroh.

“Proses menghantar barangan kitar semula menggunakan kaedah pandu lalu ini cuma mengambil masa 10 saat sahaja. Kempen KITARecycle ini telah berjaya menarik minat semua golongan termasuk B40 dalam membudayakannya amalan kitar semula kerana menganggap itu adalah antara usaha mereka untuk memelihara kelestarian bumi kita,” katanya.

Mohd Norlisam berkata, proses itu menggunakan kaedah digital yang amat sistematik kerana barangan dihantar perlu ditampal kod QR atau dicatatkan dengan jelas nombor QR  sebagai pengenalan atau identiti pemegang akaun berdaftar menerusi aplikasi KITARecycle.

Menurutnya usaha untuk memperhebatkan lagi budaya hijau dan lestari melalui amalan kitar semula turut dijalankan menerusi hebahan media dan pelbagai program melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), komuniti, pemaju perumahan, pelajar sekolah rendah serta menengah.

“Antara yang sudah dilaksanakan adalah pertandingan mengumpul barangan kitar semula, promosi menerusi MAFA 100th Year Clean Eco Fun Run & Fun Ride,  Program Sembang Santai Bersama Media, dan GREAT KITARecycle, iaitu pertandingan yang melibatkan sekolah rendah dan menengah

“Harapan kami, Melaka akan menjadi negeri hebat dalam amalan kitar semula dan pengasingan sisa di punca di negara ini, sekali gus membantu mengurangkan sisa yang dijana di hantar ke tapak pelupusan sisa pepejal pada masa hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

465
Kongsi :
Previous post MHI TAWAR PAKEJ FOTOGRAFI EKSKLUSIF ISTIADAT PINGAT, BINTANG DAN DARJAH KEBESARAN MELAKA
Next post PESERTA LUAR NEGARA ANTARA 451 BERENTAP DALAM KEJOHANAN BADMINTON PIALA YDP MPHTJ