Sorting by

×

PERZIM ANGKAT WARISAN MELAKA MENERUSI EKSPLORASI MUZIUM

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDA HILIR 22 Ogos – Program Eksplorasi Sejarah dan Warisan Muzium Melaka melatih 58 kakitangan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) meningkatkan pengetahuan sejarah, kebudayaan dan warisan berhubung Negeri Melaka.

Program berlangsung 16 Ogos lalu dianjurkan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) bersama MQA menerusi slot Program Pemacuan Perubahan dan Pemerkasaan Perkhidmatan Kepada Kakitangan Sokongan yang dirangka khusus bagi kakitangan agensi itu.

Pengurus Besar PERZIM, Erne Hamsah berkata, eksplorasi itu memberi pengalaman pembelajaran lebih bermakna kerana digabungkan dengan aktiviti fizikal, cabaran mental serta interaksi berkumpulan.

“Selain menambah ilmu berkaitan sejarah dan warisan, program ini juga membina semangat kerja berpasukan, meningkatkan disiplin serta melatih pemikiran kreatif dan kritis dalam kalangan peserta,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Erne, PERZIM dipilih mengendalikan program itu berdasarkan kepakaran luas dalam bidang permuziuman, sejarah dan warisan.

“Sejak diperkenalkan pada 2023, pakej khas yang ditawarkan juga mendapat sambutan baik daripada pelbagai agensi kerajaan. Kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta, malah turut memperkukuh usaha memelihara serta memartabatkan warisan negara.

“Ia sekali gus membuka peluang kepada PERZIM melaksanakan program lanjutan lebih kreatif dan inklusif pada masa depan,” katanya.

Katanya, PERZIM turut menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai institusi seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM), Jabatan Warisan Negara, Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.

“Usaha ini penting untuk memastikan sejarah dan warisan negara terus relevan, dihargai serta diwariskan kepada generasi masa depan,” katanya.

Pada program itu pelbagai aktiviti diadakan antaranya, kuiz berbentuk teka-teki menerusi lawatan ke muzium, cabaran baling tin dan aktiviti kreatif membuat layang-layang kertas.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

377
Kongsi :
Previous post MASJID AL-MUHTADI MERCU TANDA PEMBANGUNAN SYIAR ISLAM DI RAMUAN CHINA BESAR
Next post ‘JEBAT’ IKON BAHARU ZOO MELAKA