
‘MI JANDA’ GAMIT NOSTALGIA ORANG ALOR GAJAH
REMBIA 23 Ogos – Semangkuk mi sup atau mi hailam dihidangkan di Kedai Mi Bedah, bukan sekadar untuk mengenyangkan, sebaliknya menggamit nostalgia mencerminkan kemeriahan pekan Alor Gajah yang suatu ketika dahulu menjadi tumpuan orang ramai dan nadi kepada daerah ini.
Pewaris perniagaan Mi Bedah yang juga popular dengan panggilan Mi Janda, Kamarudin Alang, 60, berkata, perkara itu secara tidak langsung membantu mempromosikan perniagaan diwarisi daripada ibunya itu terus bertahan hingga ke hari ini.
Katanya, semuanya bermula apabila arwah neneknya memulakan perniagaan menjual makanan menggunakan kereta sorong sekitar pekan Alor Gajah pada zaman sebelum negara mencapai kemerdekaan.
“Ketika itu kedai menjual makanan tidak banyak seperti sekarang dan amat terhad, jadi jualan arwah nenek menjadi tumpuan mereka yang mahu mengisi perut. Kalau datang ke Alor Gajah orang ramai akan singgah untuk nikmati jualan nenek dan terus menjadi sebutan hingga ke hari ini.
“Sekarang ini ramai yang singgah ke kedai bukan setakat mahu menikmati hidangan yang kami tawarkan, sebaliknya mereka duduk bersembang sambil menggamit kenangan dulu-dulu bersama keluarga atau rakan-rakan,” katanya ketika ditemui di kedainya yang terletak di belakang Pejabat Pos Alor Gajah.
Kamarudin berkata, dia kemudian mewarisi perniagaan itu daripada ibunya dan menguruskan kedai berkenaan dengan dibantu oleh kakaknya iaitu Sokyah Alang, 65, dan masih mengekalkan hidangan mi sup serta mi hailam sebagai menu utama.
Namun, sesuai dengan peredaran zaman dan mempelbagaikan hidangan dia kini turut menawarkan aneka pilihan menu lain buat pelanggan singgah ke kedainya.
Selain itu katanya, mereka juga dibantu oleh anak seorang anak suadara untuk menguruskan kedai berkenaan yang menjadi sebahagian daripada ikon daerah Alor Gajah.
“Hidangan kami tawarkan biasa sahaja, iaitu mi dengan daging dan bebola ikan tetapi apa yang mahal ialah memori yang tidak ada di tempat lain,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.