Sorting by

×

KEPUASAN BERBUDI KEPADA TANAH

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

REMBIA 23 Ogos – Berbekalkan pengetahuan asas mengenai kaedah menanam pokok, Shaari Ibrahim, 54, kini boleh tersenyum lebar apabila kebun berkeluasan tiga ekar diusahakan hampir lima tahun lalu kini mengeluarkan hasil yang lumayan.

Keputusan untuk bertukar kerjaya menjadi usahawan tani selepas 30 tahun berkecimpung dalam dunia rekaan dan seni bina sebagai arkitek juga dianggap berbaloi dengan kejayaan diraih ketika ini.

Katanya, perjalanannya dalam bidang pertanian bermula apabila dia ‘terperangkap’ di kampung akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) susulan COVID-19.

“Awalnya hanya ingin suka-suka, mengisi masa akibat bosan terperangkap di kampung, semua aktiviti ada had dan batasan kecuali pertanian. Jadi saya manfaatkan sepenuhnya peluang itu dengan mula menanam cempedak madu.

“Saya bermula dengan 120 pokok, ditambah sedikit pokok durian ‘musang king’. Hasil jualan amat memberangsangkan meskipun pokok ketika ini baru belajar untuk berbuah. Ini sudah masuk musim ketiga, pasaran tidak ada masalah, sebaliknya tidak dapat menampung permintaan semasa yang tinggi,” katanya

Menurut Shaari, menggunakan tapak yang sama dia memberanikan diri untuk menceburi bidang penternakan dengan membela pelbagai jenis baka ayam, itik dan angsa.

“Selain ayam penelur dan ayam kampung, di sini juga terdapat pelbagai baka lain termasuk selasih, saigon dan serama yang kesemuanya dianggarkan 400 ekor.

“Secara kebetulan tercetus pula idea untuk membela ikan di kolam tadahan air terletak bersebelahan. Namun begitu saya tidak pasarkan lagi ikan dibela, biarlah semakin besar contoh sampai berat mencecah 20 kilogram (kg) seekor.

“Melihat potensi besar dalam bidang pertanian, saya membuka beberapa lagi tapak baharu juga terletak berhampiran untuk menanam petai dan kelapa mataq,” katanya.

Jelas Shaari, dia melihat bidang pertanian sebagai perniagaan yang mempunyai prospek besar dan dia kini dalam perancangan untuk melengkapkan ladang miliknya dengan fasiliti sesuai bagi aktiviti agropelancongan.

“Saya mahu bidang pertanian ini turut disertai oleh golongan muda khususnya, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat, untuk itu saya ada rancang untuk membuat beberapa kertas kerja.

“Jika sekarang ini kawasan pantai menjadi tumpuan, saya mahu selepas ini kawasan kebun sebegini pula menjadi pilihan ramai dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1615
Kongsi :
Previous post PUSAT SEHENTI USAHAWAN MELAKA DI UTC BEROPERASI SEPTEMBER