Sorting by

×

MAHU MELAKA JADI ‘KILANG’ PENCIPTA

Masa Membaca:3 Minit, 17 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Vista Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam adalah untuk melihat Melaka bangkit sebagai sebuah negeri ‘pencipta’, sesuai dengan kerancakan kemasukan pelaburan asing berteknologi tinggi, termasuk syarikat mutinasional tersohor yang mahu bertapak di bumi bertuah ini.

Bayangan itu bukan sekadar angan-angan, sebaliknya diyakini mampu direalisasikan kerana Melaka juga menjadi hab bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan 23 institusi kemahiran bertaraf institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berkeupayaan melahirkan ribuan graduan TVET setiap tahun.

Katanya, graduan TVET Melaka juga diuji menerusi pelbagai pertandingan bagi mencari si ‘tangan emas’ yang bukan sahaja memiliki kemahiran, bahkan mempunyai daya pemikiran inovatif dalam menghasilkan produk berkualiti bertaraf antarabangsa.

Justeru, jelas beliau, sudah tiba masanya untuk Melaka mengetengahkan bakat TVET dengan mengkomersialkan produk hasil buah fikiran sang juara seterusnya membantu produk itu dipasarkan ke peringkat global.

“Jangan lagi setakat beri hadiah kepada pemenang dan tepukan gemuruh, kemudian pertandingan tamat begitu sahaja. Kita perlu bangkit dan pergi lebih jauh, buka peluang dan ruang untuk komersialkan hasil inovasi juara pertandingan, amat rugi jika dibiarkan begitu sahaja tanpa memberikan pulangan dalam bentuk ekonomi.

“Perkara ini boleh dilaksanakan menerusi kerjasama institusi TVET dan swasta, kita patenkan produk sebelum dikomersialkan agar juara pertandingan turut mendapat hasil selepas penat memerah otak untuk menghasilkan produk berkualiti.

“Dalam suasana perkembangan teknologi yang amat pantas ketika ini Malaysia dan Melaka mungkin agak ketinggalan berbanding negara lain seperti China, Taiwan, Hong Kong dan Jepun, tetapi bagi saya jika ada kemahuan beserta kehendak, tidak terlewat untuk bangkit sebagai bangsa pencipta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wawancara Khas Bersama Melaka Hari Ini bersempena Sambutan Hari Jadi Ke-76 di Pejabat Yang di-Pertua Negeri, di sini.

SEGERAKAN PENUBUHAN ‘RNDCIC’

Tun Dr. Mohd Ali yang juga Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berharap universiti itu dapat memainkan peranan dalam membentuk ekosistem menuju ke arah negeri pencipta kerana memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang dan kemudahan mencukupi untuk menjadikan visi dinyatakan sebagai suatu realiti.

Jelasnya, meskipun berteraskan teknikal UTeM sebenarnya memiliki ramai ahli akademik pemegang ijazah sarjana, ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan profesor dalam pelbagai bidang berkemampuan untuk merangka pelan pembuatan dan pemasaran.

Sehubungan itu, kata beliau, universiti juga disaran untuk menyegerakan penubuhan Pusat Penyelidikan & Pembangunan, Kreativiti, Inovasi dan Pengkomersialan (RNDCIC) bertujuan menyokong serta menggerak ekosistem yang dirangka.

“Contohnya, RNDCIC ini akan digerakkan oleh ahli akademik bagi melakukan kajian produk dan kaedah pemasaran, jika tidak ada pakar tempatan mungkin kita boleh bekerjasama dengan pakar dari universiti luar bagi menjayakan perkara ini. Sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian bagi setiap permasalahan.

“Selain itu pihak universiti juga boleh mendapatkan geran bagi menjayakan penyelidikan, apabila ekosistem ini bergerak graduan TVET kita bukan lagi sekadar makan gaji selepas tamat pengajian tetapi turut berkongsi idea dengan menjadi pencipta,” katanya.

Menurut beliau, inovasi pakar tempatan dalm bidang teknologi juga tidak kurang hebatnya, namun tenggelam kerana tidak diteruskan hingga ke peringkat pengkomersialan seperti jenama besar lain seperti dari China.

“Dengan memanfaatkan teknologi kecerdsan buatan (AI) dan robotik China sudah hasilkan robot untuk angkat (membantu) pesakit dan ini amat berguna dalam menampung kekurangan petugas kesihatan di hospital selain mengurangkan beban tugas jururawat.

“Saya melihat bidang robotik adalah antara yang harus kita berikan perhatian ia amat penting. Melaka boleh memulakan langkah pertama, sebagai permulaan mungkin boleh bekerjasama dengan institusi TVET di China,” katanya.

YAYASAN TYT PERKASA PENDIDIKAN ANAK MELAKA

Tun Dr. Mohd Ali berkata, bagi memperkasakan lagi bidang akademik Kerajaan Negeri sudah meluluskan Yayasan TYT yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Berkongsi peranan yayasan itu, Tun Dr. Mohd Ali berkata, antara perkara yang bakal difokuskan adalah memperkasakan bidang teknologi dan TVET di Negeri Melaka.

“Antara cadangan setakat ini adalah pertandingan reka cipta TVET melibatkan semua universiti bagi mecari ‘kreator’ atau pencipta baharu dalam bidang AI dan robotik.

“Selain itu yayasan juga berperanan membantu pelajar cemerlang untuk menyambung pengajian ke mana-mana universiti, insya-Allah kita laksanakan perancangan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

559
Kongsi :
Previous post ISTIADAT PENGANUGERAHAN DARJAH, BINTANG DAN PINGAT KEBESARAN MELAKA 2025 BUKA TIRAI
Next post KDNK, PENDAPATAN PER KAPITA MELAKA MENINGKAT