
TUN DR. MOHD ALI PUJI INISIATIF MELAKA DEKATI RAKYAT
SERI NEGERI 24 Ogos – Usaha Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ‘merakyatkan’ pentadbiran Kerajaan Negeri dan mendekati rakyat di peringkat akar umbi mendapat pujian Yang di-Pertua Negeri.
Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam berkata, inisiatif seperti program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), Hari Terbuka Kerajaan Negeri dan Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Rakyat (HEBAT) telah membuktikan pentadbiran Kerajaan Negeri memberi tumpuan penuh kepada permasalahan dan nasib rakyat.
Pada masa sama, beliau juga menyifatkan penganjuran inisiatif seumpamanya dapat mengeratkan hubungan di antara kerajaan, agensi dan jabatan, pihak swasta dengan rakyat.
“Bila adanya program turun padang seperti ini, ia membantu dalam mewujudkan persefahaman di mana rakyat mudah bertemu, membincangkan masalah dan lebih baik lagi masalah itu dapat diselesaikan segera.
“Seperti contoh WRUR, ia banyak membantu dalam menyelesaikan masalah rakyat dan tidak membiarkan sesuatu masalah itu berlarutan terlalu lama sehingga menimbulkan salah faham.
“Pada hemat saya, ini satu pendekatan yang amat baik dan saya percaya ia akan dapat membantu mengurangkan lebih banyak masalah di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Wawancara Khas Bersama Melaka Hari Ini bersempena Sambutan Hari Jadi Ke-76 di Pejabat Yang di-Pertua Negeri, di sini.
Menurut Tun Dr. Mohd Ali, melihat keberkesanan program santunan rakyat yang telah diadakan, beliau berpandangan ia wajar diteruskan secara berkala pada masa akan datang supaya setiap permasalahan rakyat dapat diselesaikan.
“Saya juga berpendapat wajar untuk Kerajaan Negeri mengadakan hari terbuka (open day) pada satu hari yang dikhaskan setiap minggu untuk wakil rakyat bertemu dengan masyarakat.
“Hari khas ini dapat memudahkan rakyat untuk datang ke pejabat dan membincangkan pelbagai isu dengan lebih baik, selain daripada pertemuan-pertemuan biasa yang diadakan di kawasan masing-masing,” ujar beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.