Sorting by

×

JADIKAN RUKUN NEGARA TERAS PERPADUAN – TUN DR. MOHD ALI

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Rukun Negara perlu menjadi teras panduan gagasan kebangsaan Malaysia yang dibentuk susulan tragedi berdarah 13 Mei 1969 yang menghancurkan perpaduan dan ketenteraman dalam negara.

Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam berkata, usaha menyemai dan menjiwai Rukun Negara perlu diperluaskan kembali bermula dari sekolah rendah, menengah hingga ke institusi pengajian tinggi (IPT), bagi memastikan generasi muda terus menghayati makna tersirat terkandung di dalammnya.

Menurut beliau, akibat sikap tidak cakna terhadap ideologi penyatuan bangsa, perpaduan menjadi rapuh dan kerap berlaku permasalahan antara kaum seperti yang timbul sejak kebelakangan ini.

Berkait dengan isu semasa, Tun Dr. Mohd Ali berkata, jika dihayati dengan sepenuh jiwa Rukun Negara juga boleh membendung perlakuan buli terutama di sekolah yang dianggap serius.

Beliau berkata, Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan harus menjadi pegangan setiap rakyat untuk memperkukuhkan semula perpaduan.

Malah katanya sejak kecil hingga dewasa rakyat Malaysia sentiasa diingatkan mengenai rukun negara, namun ramai yang terlupa mengenai Rukun Negara yang menjadi asas perpaduan bangsa.

“Rukun Negara yang pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan telah memberi gambaran bahawa rakyat berbilang kaum perlu mengikut ajaran agama masing-masing. Jika kita lihat secara mendalam, tidak ada agama membenarkan pengikutnya melakukan sesuatu yang boleh memcemarkan diri dan orang lain, jadi semua perlu berbalik kepada agama.

“Kedua Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, jika berpegang kepada pegangan ini tidak berlaku perbuatan menjual rahsia negara dan sebagainya. Ketiga Keluhuran Perlembagaan, sudah jelas semua ada hak dalam perlembagaan manakala keempat Kedaulatan Undang-Undang, jika timbul pertikaian rujuk sistem perundangan dan mahkamah.

“Kelima, Kesopanan dan Kesusilaan, boleh dikaitkan dengan budaya buli yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Buli bukan budaya orang Melayu, Cina, India atau mana-mana bangsa lain, jadi inilah masalah jika kita tidak menghayati ideologi yang telah ada sejak sekian lama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wawancara Khas Bersama Melaka Hari Ini bersempena Sambutan Hari Jadi Ke-76 di Pejabat Yang di-Pertua Negeri, di sini.

Tambah Tun Dr. Mohd Ali lagi, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim juga menitahkan dengan memberikan peringatan supaya isu buli diberikan perhatian secara menyeluruh dan dibasmi.

Katanya, sehubungan itu Rukun Negara perlu diunjung dan menjadi panduan dalam menjalani kehiduan seharian kerana ia mengandungi semua unsur yang diperlukan untuk memperkasakan bangsa.

“Justeru, ideologi perpaduan yang berteraskan kepada Rukun Negara ini perlu kita berikan penekanan semula. Apabila semua ini dihayati ia akan disusuli sikap kepedulian terhadap mereka kurang bernasib baik, sekali gus menyemarakkan kembali perpaduan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

478
Kongsi :
Previous post WTD 2025 SATU PENGIKTIRAFAN BESAR UNTUK MELAKA
Next post WRUR SELESAI 1,114 ADUAN RAKYAT DI 7 DUN