
KDNK, PENDAPATAN PER KAPITA MELAKA MENINGKAT
SERI NEGERI 24 Ogos – Pencapaian ekonomi Negeri Melaka terus menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan apabila Nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 4.4 peratus tahun lalu.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, berdasarkan rekod, nilai KDNK Negeri Melaka pada 2024 adalah RM48.9 bilion, meningkat berbanding RM46.9 bilion tahun sebelumnya.
Tidak hanya itu, Ketua Menteri memaklumkan, pendapatan per kapita negeri turut menunjukkan peningkatan kepada RM54,553.
“Selain itu, kadar pengangguran berjaya diturunkan kepada 1.9 peratus pada suku pertama 2025, jauh lebih rendah daripada kadar nasional iaitu 3.1 peratus.
“Segala pencapaian ini terangkum dalam lebih 100 kejayaan yang telah dicapai sepanjang tempoh dua tahun di bawah kepimpinan saya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Ucapan Taat Setia Ketua Menteri Melaka pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-76 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut berkongsi perkembangan terkini hala tuju pembangunan negeri melalui Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035).
Jelas beliau, PSMJ 2035 kini mencatatkan kemajuan dengan mencapai 57 peratus daripada keseluruhan sasaran setakat Jun 2025.
“Namun, Kerajaan negeri tidak akan menoktahkan pencapaian tersebut, malah akan terus meningkatkan prestasi perkhidmatan dan pencapaian negeri,” jelas beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.