
KETUA HAKIM NEGARA DAHULUI SENARAI 331 PENERIMA PINGAT DARJAH KEBESARAN MELAKA
SERI NEGERI 24 Ogos – Ketua Hakim Negara ke-17, Datuk Seri Utama Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendahului senarai 331 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-76 Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Seri Negeri, hari ini.
Wan Ahmad Farid dikurniakan Darjah Utama Negeri Melaka (D.U.N.M) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Melaka turut menganugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada dua penerima iaitu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M) membawa gelaran Datuk Wira pula dianugerahkan kepada 20 penerima yang didahului oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Azhar Arshad.
Sementara itu, Duta Malaysia ke Rusia, Datuk Cheong Loon Lai mendahului tujuh penerima Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M).
Paling mencuri tumpuan pada majlis istiadat hari ini adalah penganugerahan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk kepada Duta Setiakawan Pelancongan Melaka, Datuk Fan Bingbing.
Penganugerahan D.P.S.M melibatkan seramai 57 penerima termasuk Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid, Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka, Datuk Khairul Azreem Mamat dan Duta Besar Malaysia ke Algeria,Datuk Rizany Irwan Muhamad Mazlan.
Pada istiadat sama Tun Dr. Mohd Ali turut menganugerahkan Tauliah Jaksa Pendamai (J.P.) kepada enam penerima.
Manakala Ketua Polis Daerah Kuantan, Pahang yang juga bekas Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah dianugerahkan Darjah Seri Melaka (D.S.M) mendahului senarai 31 penerima.
Turut dianugerahkan D.S.M adalah Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Abdul Aziz Baba, Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Melaka, Jaibalan Harirajan.
Bagi Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M) dianugerahkan kepada 52 penerima, Bintang Khidmat Terpuji (B.K.T) 66 penerima dan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) kepada 47 penerima.
Diikuti Pingat Bakti Masyarakat (P.B.M) kepada 40 penerima dan Pingat Khidmat Lama (P.K.L) kepada dua penerima.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.