Sorting by

×

LEBIH 6,000 KAMPIT BERAS MELAKA DIPASARKAN

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Melaka berjaya membuktikan usaha negeri ini dalam memperkasa keterjaminan makanan menerusi penghasilan benih padi sah sendiri berjaya memberi impak bukan sahaja kepada pesawah, bahkan rakyat negeri ini.

Menurut Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, sebagai negeri pertama yang menggerakkan inisiatif itu, negeri ini telah menunjukkan satu kejayaan membanggakan apabila tuaian sulung merekodkan hampir 150 tan metrik dan lebih 45 peratus diiktiraf benih sah.

Beliau berkata, bukan hanya penghasilan benih, malah, inisiatif itu turut memberi impak kepada penghasilan Beras Melaka yang dapat dijual pada harga murah khas untuk rakyat negeri ini.

“Setakat ini, lebih 6,000 kampit Beras Melaka berjaya dipasarkan dengan nilai jualan mencecah RM156,000.

“Inisiatif ini merupakan usaha Kerajaan Negeri untuk mewujudkan Jelapang Padi Selatan yang akan menggabungkan Melaka, Negeri Sembilan dan Johor bagi menjamin bekalan padi negara terutamanya di kawasan selatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ucapan Taat Setia Ketua Menteri Melaka pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-76 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan Kerajaan Negeri telah mempatenkan Jambu Batu Lohan sebagai ikon buah-buahan Melaka dan dijenamakan semula sebagai MelGuv.

Jelas beliau, sehingga Julai tahun ini, keluasan tanaman jambu batu di Melaka telah mencecah 71 hektar dengan pengeluaran melebihi 798 metrik tan serta menjana anggaran pendapatan bernilai RM3.06 juta.

“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada Kompleks Teknologi Pertanian Sungai Udang (KTPSU) yang akan dinaik taraf sebagai destinasi agropelancongan berkonsep Recreational Vehicle (RV), dengan peruntukan RM3.5 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

387
Kongsi :
Previous post JAWATANKUASA KHAS ‘TEKSI AIR’ SUNGAI MELAKA DIWUJUDKAN
Next post TUN DR. MOHD ALI UCAP TAHNIAH KEPADA KETUA MENTERI, KERAJAAN NEGERI