
MELAKA NEGERI PILIHAN PELAJAR TVET
SERI NEGERI 24 Ogos – Melaka kini menjadi destinasi pendidikan pilihan pelajar dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) apabila merekodkan peningkatan hampir 40 peratus pelajar setakat Julai tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah itu membabitkan hampir 7,000 pelajar berbanding hanya 5,000 pada tahun sebelumnya.
Tidak hanya itu, Ab Rauf berkata, pembangunan TVET Melaka juga merentas kepercayaan negara luar di mana Kerajaan China baru-baru ini menawarkan 15 biasiswa TVET kepada Malaysia dan 5 daripadanya khusus untuk anak watan Negeri Melaka.
“Tambah pula, mulai tahun hadapan… Melaka bakal mencetus satu lagi dimensi baharu menjadi yang pertama di dunia memiliki sebuah institusi TVET Tahfiz yang akan dibangunkan di Pulau Besar menerusi tawaran kursus Persijilan Profesional Menyelam Dasar Laut.
“TVET Tahfiz ini kelak pastinya memberi manfaat khususnya kepada 2,839 orang pelajar tahfiz yang kini menuntut di 75 sekolah tahfiz berdaftar di negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Ucapan Taat Setia Ketua Menteri Melaka pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-76 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, selain TVET, Melaka juga menunjukkan keprihatinan dalam aspek pendidikan anak istimewa apabila menjadi negeri perintis membangunkan Tabika Tunas Istimewa untuk anak-anak Autisme.
Menurut beliau, tabika di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) itu dibangunkan di tiga daerah dalam Negeri Melaka iaitu Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin, sekali gus menjadi manifestasi usaha Kerajaan Negeri menyedia peluang pendidikan menyeluruh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.