Sorting by

×

TUN DR. MOHD ALI UCAP TAHNIAH KEPADA KETUA MENTERI, KERAJAAN NEGERI

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Pencapaian gemilang diraih Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mendapat ucapan tahniah daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam berkata, antara pencapaian membanggakan adalah penganugerahan The Asia HRD Awards 2025 iaitu Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat yang diterima Ketua Menteri, baru-baru ini.

Selain itu, menurut Tun Dr. Mohd Ali, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri turut melakar lebih daripada 100 inisiatif sehingga kini, sekali gus menggambarkan komitmen dalam membangun negeri dan mensejahtera rakyat.

“Saya berharap semoga pencapaian yang membanggakan ini akan menjadi pemangkin semangat untuk terus melakar kejayaan baharu, memperkukuh agenda pembangunan negeri serta melahirkan lebih ramai pemimpin dan generasi pelapis berintegriti, berilmu dan berwawasan.

“Sesungguhnya pencapaian gemilang ini adalah kegigihan yang tidak pernah luntur, perancangan strategik yang tersusun rapi, serta komitmen berterusan yang dipimpin Ketua Menteri bersama seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Inilah bukti kesungguhan semua dalam merealisasikan transformasi Melaka ke arah sebuah negeri yang maju, berdaya saing dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap bersempena Sambutan Hari Jadi Ke-76 di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Tun Dr. Mohd Ali turut mendoakan agar Ketua Menteri dan barisan kepimpinan dikurniakan kesihatan yang baik dan kekuatan untuk membawa Negeri Melaka terus melangkah dengan penuh keyakinan menuju masa depan yang lebih cemerlang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1248
Kongsi :
Previous post LEBIH 6,000 KAMPIT BERAS MELAKA DIPASARKAN
Next post MELAKA NEGERI PILIHAN PELAJAR TVET