Sorting by

×

CADANG PROGRAM ANTI BULI BERKONSEP PERTANDINGAN – TUN DR. MOHD ALI

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Dalam menyokong kempen anti buli secara menyeluruh di Negeri Melaka, sebuah program berasaskan pendidikan dan pertandingan bertajuk ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ dicadang untuk diadakan di negeri ini.

Cadangan itu diusul oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bagi menyahut titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk menghentikan budaya yang semakin menjadi barah di sekolah dan institusi pengajian itu.

Jelas Tun Dr. Mohd Ali, tajuk ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ itu dipilih memandangkan ia termaktub dalam prinsip Rukun Negara kelima.

“Pertandingan ini boleh diadakan bermula di sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi serta pusat-pusat latihan sama ada awam atau swasta bagi menyemai nilai-nilai akhlak yang mulia.

“Sebagai rakyat Malaysia, sesungguhnya prinsip Rukun Negara yang kelima ini perlu dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian oleh lapisan masyarakat.

“Kita perlu renungkan setiap kali ingin melakukan sesuatu, kita peru bertanya apakah (perbuatan yang kita lakukan) sopan dan bertatasusila?,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap bersempena Sambutan Hari Jadi Ke-76 di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Tun Dr. Mohd Ali, budaya buli sekiranya tidak dibendung sejak dari sekolah rendah, ia berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat dan kasih sayang sesama insan.

“Perbuatan buli bukan sahaja merosakkan mental dan emosi mangsa, malah boleh mengakibatkan pelbagai tragedi sekiranya dibiarkan tanpa tindakan yang tuntas oleh kita semua,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

438
Kongsi :
Previous post KETUA HAKIM NEGARA DAHULUI SENARAI 331 PENERIMA PINGAT DARJAH KEBESARAN MELAKA
Next post TIGA BULAN, MELAKA REKOD NILAI PELABURAN RM855.63 JUTA