
REZEKI TIGA RAKAN SEKELAS KE AL-AZHAR
KUALA LINGGI 25 Ogos – Perkenalan tiga sekawan bermula di Sekolah Menengah Arab (JAIM) Al-Asyraf Pekan Pulau Sebang (SMASRA) kekal utuh dan berterusan ke menara gading apabila mereka menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir.
Muhamad Syahmie Muhamad Sapran, Ahmad Dzakiri Zulkeflei dan Amierul Fathi Mohd Umar, masing-masing berusia 19 tahun adalah lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Al-Azhar dalam bidang pengajian Islam menerusi tajaan Kerajaan Negeri Melaka.
Ahmad Dzakiri yang juga anak sulung daripada empat beradik berkata, dia akan mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Usuluddin yang dijangka mengambil masa selama empat tahun.
Katanya, minat untuk menyambung pengajian ke Al-Azhar didorong atas rasa tanggungjawab untuk membantu meningkatkan lagi tahap pemahaman dalam kalangan Muslim berhubung pegangan akidah dan ajaran Islam yang sebenar.
“Insya-Allah, dengan ilmu yang ada nanti saya akan bantu memperkasakan pegangan Islam dan akidah keluarga, kemudian baru dikongsi bersama masyarakat khususnya di Negeri Melaka.
“Ini adalah tanggungjawab saya sebagai orang muda kerana sekarang ada bermacam-macam anasir dan fahaman yang boleh memesongkan pegangan kita daripada ajaran Islam,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Kursus Persediaan Pelajar Timur Tengah (KPTT) Negeri Melaka Bagi Tahun 2025 di Kampus Universiti Islam Melaka (UNIMEL), Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, di sini, 22 Ogos lalu.
Sementara itu Amierul Fathi pula menganggap peluang itu sebagai rezeki buat dirinya, kerana hanya menghantar permohonan untuk melanjutkan pengajian ke Al Azhar pada saat akhir.
Anak keempat daripada enam beradik ini berkata, secara tiba-tiba hatinya terdetik untuk mengisi borang kerana pada mulanya bercadang untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan sahaja.
“Alhamdulillah, bukan sahaja dapat ke Al-Azhar saya juga mendapat tajaan daripada Kerajaan Negeri Melaka sepanjang tempoh empat tahun di Mesir. Bantuan ini dapat mengurangkan kerisauan ayah berkenaan pembiayaan pengajian saya kerana kami bukan orang senang, kakak dan adik-adik masih ada yang sedang belajar.
“Selain dia ibu dan ayah, rezeki ini mungkin daripada keberkatan saya berkongsi ilmu bersama rakan-rakan ketika mengulang kaji pelajaran. Jika semuanya berjalan lancar kami dijadualkan berlepas ke Mesir pada 28 September nanti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.