Sorting by

×

MPAG FOKUS TANGANI ADUAN KEBERSIHAN, TERNAKAN BERKELIARAN

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

SERI NEGERI 26 Ogos – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dari semasa ke semasa meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada penduduk sekitar daerah ini terutamanya melibatkan aspek kebersihan, ternakan berkeliaran dan keceriaan.

Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, pihaknya juga amat peka dan cakna terhadap aduan melibatkan soal kebersihan dan ternakan berkeliaran berikutan ia melibatkan kepentingan awam.

Katanya, selaras dengan inisiatif merakyatkan pentadbiran Kerajaan Negeri pihaknya akan memastikan setiap tindakan susulan daripada aduan diterima memberikan impak kepada orang ramai.

“MPAG akan sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik dalam pelbagai acara atau aktiviti anjuran Kerajaan Negeri termasuk Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).

“Kami meneliti banyak aduan melibatkan isu haiwan ternakan berkeliaran dan perkara berkaitan kebersihan serta keceriaan yang perlu diberikan perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada sesi kedua Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-76 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Balai Istiadat, Seri Negeri, di sini, semalam.

Terdahulu pada istiadat itu TPr. Saifuddin menerima anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

510
Kongsi :
Previous post MAHU JADI PAKAR SEJARAH ISLAM
Next post KLINIK KESIHATAN SUNGAI RAMBAI GUNA REKA BENTUK TERKINI, DILENGKAPI KEMUDAHAN MODEN