
MISI KUMPUL 10,000KG BOTOL PLASTIK
AYER KEROH 26 Ogos – SWM Environment menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Penyiaran Melaka menerusi Radio Melaka FM dalam menjayakan misi mengumpul 10,000 kilogram (kg) botol plastik sepanjang Bulan Kebangsaan 2025.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, kerjasama itu juga bertujuan untuk mencatatkan rekod dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) bagi mencapai sasaran 10,000 kg botol plastik seluruh negara sepanjang Program Jelajah Aspirasi Malaysia 2025.
Katanya, sasaran program dilaksanakan juga selaras dengan misi SWM Environment untuk menggalakkan gaya hidup lestari dalam kalangan masyarakat.
“Pengumpulan dan penyediaan data dilaksanakan adalah sebahagian Program KITARecycle iaitu sebuah inisiatif kitar semula berganjaran oleh SWM Environment.
“Kerjasama dua hala ini amat bermakna kerana bukan sahaja untuk mencatatkan rekod, tetapi menjadi simbol perpaduan, tanggungjawab bersama serta semangat cintakan negara menerusi usaha kelestarian alam sekitar,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, bagi mencapai misi ini, SWM Environment dan Melaka FM turut bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka serta Petron Malaysia.
Menurutnya, kerjasama itu bertujuan mengumpul botol plastik di 22 buah sekolah dan 29 buah stesen minyak Petron seluruh Negeri Melaka.
“Orang ramai, khususnya warga Melaka, turut dialu-alukan untuk menjayakan misi ini dengan menghantar botol plastik terpakai ke lokasi-lokasi pengumpulan yang ditetapkan sehingga 30 Ogos ini.
“Antara lokasi untuk orang ramai menghantar botol plastik termasuklah di pondok pengawal Jabatan Penyiaran Melaka, Jalan Taming Sari, di stesen-stesen minyak Petron seluruh Melaka selain fasiliti KITARecycle SWM Environment seperti di Taman Botanikal Melaka Ayer Keroh,” katanya.
Mohd Norlisam berkata, botol plastik juga boleh dihantar ke ‘Drop-Off’ Point TS Park, Taman Desa Bertam atau di 53 lokasi sangkar KITARecycle seluruh Negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.